Wednesday, June 30, 2010

Tip Survival Penulis dan Penterjemah: Bakat Bahasa versus Modal Bahasa

Tip Survival Penulis dan Penterjemah: Bakat Bahasa versus Modal Bahasa

Penulis dan penterjemah adalah "pekerja bahasa" (language worker). Sesiapa sahaja yang bekerja menggunakan bahasa sebagai modal utama, mereka termasuk dalam kategori pekerja bahasa.

Dua modal utama bagi mencapai kejayaan sebagai pekerja bahasa adalah:

1. Bakat bahasa (linguistic talent)

Sebagaimana dengan bakat-bakat lain, bakat bahasa adalah anugerah Tuhan. Termasuk dalam bakat bahasa adalah kepandaian:

(a) Memilih perkataan dan makna perkataan

(b) Menyusun ayat

(c) Mencipta frasa

(d) Mencipta peribahasa, dan lain-lain kemahiran berbahasa.

Seseorang yang bakat bahasanya rendah, meskipun mereka belajar teknik-teknik penulisan, hasil karangan mereka tidak cukup tinggi. Ia ibarat penyanyi yang bakat nyanyiannya rendah, meskipun mereka belajar teknik-teknik seni suara, mutu nyanyian mereka tidak tinggi.

Apabila seseorang itu mempunyai bakat bahasa yang baik, kemudian dia belajar pula teknik-teknik penulisan yang betul, mereka menjadi sangat produktif manakala mutu karangan yang mereka hasilkan akan sangat tinggi.

Begitulah yang berlaku kepada pengarang seperti Abdul Latip Talib. Beliau mempunyai bakat bahasa yang baik, kemudian belajar teknik-teknik penulisan novel sejarah yang betul. Dengan kombinasi bakat dan teknik itu maka beliau dapat mghasilkan banyak karya dalam masa yang singkat dengan kualiti yang tinggi.

2. Modal bahasa (language capital)

Bakat adalah ibarat pemandu kereta Formula 1. Modal bahasa adalah ibarat kereta Formula 1 itu sendiri. Hanya apabila pemandu Formula 1 memandu kereta Formula 1, barulah kombinasi itu melayakkan mereka masuk balapan Formula 1.

Modal bahasa adalah data bahasa yang terakam dalam memori. Unsur-unsur modal bahasa adalah:

(a) Berapa ribu perkataan

(b) Berapa ribu frasa

(c) Berapa ribu peribahasa

(d) Berapa ribu pola-pola struktur ayat, yang tersimpan dalam memori.

Justeru modal bahasa adalah bank data bahasa dalam otak penulis. Semakin besar jumlah data bahasa yang terakam dalam memorinya, semakin besar modal bahasanya.

Seseorang itu mungkin mempunyai bakat bahasa yang baik, tetapi jika saiz bank data bahasa yang terakam dalam memorinya kecil, dia tidak dapat menghasilkan karangan yang bermutu.

Saiz memori bahasa ditentukan oleh jumlah buku-buku dan genre buku yang pernah dibaca. Orang yang membaca buku-buku kejuruteraan akan mempunyai data bank bahasa yang dipenuhi oleh bahasa kejuruteraan. Mereka dapat menulis dan menterjemah buku-buku kejuruteraan.

Bagi penulis dan penterjemah sastera, kita perlu memiliki saiz bank data bahasa sastera yang besar. Itu bermakna kita perlu banyak membaca buku-buku sastera. Dengan menggunakan data itu barulah kita dapat menghasilkan ayat-ayat yang bermutu sastera.

Inilah yang dilakukan oleh 2 orang pengarang PTS, Firdaus Ariff (Armada Azur) dan Zahiruddin Zabidi (Rabiatul Adawiyah). Mereka berdua telah membeli dan membaca semua novel-novel sejarah Islam karya Abdul Latip Talib sebelum memulakan proses menulis karya mereka sendiri.

Apabila kita membaca novel-novel picisan, memori kita hanya menyimpan perbendaharaan kata, frasa, dan struktur ayat-ayat picisan. Memori bahasa picisan hanya dapat menghasilkan ayat-ayat piicisan. Ia tidak dapat menghasilkan ayat-ayat sastera.

Bak kata pepatah Tamil: Apa yang ada di dalam senduk, itulah yang ada di dalam periuk.

Oleh Puan Ainon Mohd, Presiden, PTS

Sumber:http://universitipts.com/index.php/site/comments/tip_survival_penulis_dan_penterjemah_bakat_bahasa_versus_modal_bahasa1/

Saturday, June 26, 2010

Tip Melancong - Urusan Pasport di Hujung Minggu


Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Semoga semua berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Sesi persekolahan sudah bermula pada 21 jun 2010. Namun, pasti sudah ada yang merancang percutian pada cuti sekolah yang akan datang.

Bagi mereka yang merancang mahu ke luar negara, pastikan kamu memeriksa tarikh mati pasport kamu. Pasport perlu hidup sekurang-kurangnya 6 bulan pada masa melancong itu.

Apabila memeriksa pasport yang lama tersimpan dalam laci, baru kamu tahu yang pasport kamu sudah hampir tamat! Tidak mengapa, masih ada masa memperbaharui pasport itu.

Tetapi, ada halangan lain pula.
1. Semua cuti tahunan dibekukan kerana sebab yang ditetapkan oleh syarikat.
2. Ataupun kamu tidak mahu membazirkan cuti tahunan hanya semata-mata mahu me'renew'kan pasport yang tinggal nyawa-nyawa ikan.
3. Atau kamu sudah tidak ada hari cuti tahunan lagi kerana semuanya sudah di'cop' bagi percutian itu. Apabila mahu terus meminta cuti, gaji pula dipotong!

Usah gusar, ada jalan penyelesaiannya!

Jawapannya, perlu renew pasport pada hari sabtu atau ahad! Tetapi ada cawangan imigresen yang di buka pada hujung minggu?

ADA!

Ya, benar. Ada cawangan imigresen yang dibuka pada hari Sabtu DAN Ahad.

Bagi Negeri Selangor, cawangan imigresen itu adalah cawangan Shah Alam yang terletak di Kompleks PKNS.

Pejabat Pejabat Imigresen Negeri Selangor
Pengarah Pengarah Imigresen Negeri Selangor
Alamat Tingkat 2, Kompleks PKNS
40550 Shah Alam
Selangor Darul Ehsan
Telefon 03-55190653
Faks 03-55190414

(sumber: http://www.imi.gov.my/index.php/bm/bahagiancawangan-jim/pejabat-imigresen-negeri-pin-dan-cawangan/pejabat-imigresen-negeri-selangor)


Kalau ada yang bertanya, negeri lain bagaimana? Waktu urusan?

Ini jawapannya:

Sabtu-Ahad : 8.00 pagi - 1.00 petang Bagi Pejabat Imigresen di Melaka, Negeri Sembilan (Seremban), Pahang (Kuantan), Perak (Ipoh), Selangor (Shah Alam), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Damansara), Johor (Wisma Persekutuan), Pulau Pinang (Seberang Jaya), Sarawak(Kuching), Sabah (Kota Kinabalu)

(Sumber:http://www.imi.gov.my/index.php/bm/perkhimdmatan/waktu-urusan)

Namun begitu....

Cawangan ini tidak dibuka pada SETIAP SABTU dan AHAD.

Eh?

Menurut pegawai imigresen yang dihubungi, "Puan, apabila ada hari cuti umum pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad atau Isnin, hujung minggu itu pasti ditutup pejabat imigresen ini."

(Saya menghubungi mereka pada minggu terakhir Mei)

Jadi, apabila jumaat 28 Mei adalah cuti umum - Wesak - Hari sabtu dan ahad itu, automatik tutup pejabat imigresen.

Minggu seterusnya, Sabtu 5 Jun adalah cuti umum - Hari Keputraan Agong - Hari ahad itu, automatik tutup pejabat imigresen.

Pastikan kamu mengetahui tarikh cuti umum, supaya senang merancang apabila mahu memperbaharui pasport itu pada hujung minggu. Jika tidak, pasti kamu berhadapan dengan pintu yang bertutup rapi!

Selamat melancong! :D

Tuesday, June 22, 2010

Tip Freelancer: Masa - Kawan atau Musuh?


Masa adalah kawan kita atau musuh kita?

Apabila kita menganggapnya sebagai kawan, pasti kita akan menjaganya sebaik mungkin. Menatangnya dengan minyak yang penuh. Persahabatan yang baik dipelihara dan sentiasa di hati kita.

Apabila kita menganggapnya sebagai musuh, pasti kita tidak mengendahkannya. Buat apa kita sibuk menjaga musuh kita dengan baik? Pasti kita selalu mahu memusnahkannya. Dalam erti kata lain, masa tidak menjadi prioriti kita. Kita sering melanggar masa yang dijanjikan dan tidak rasa bersalah apabila berbuat demikian. Akibatnya, kamu sering lambat memenuhi jemputan, hadir ke majlis lambat, dan tidak menepati langsung jadual yang diberikan!

Kalau kamu menganggap masa itu kawan karib kamu, pasti selama ini kamu menjaga masa dan menguruskannya sebaik mungkin. Itu berita baik!

Tetapi kalau kamu menganggap masa sebagai musuh, kamu membencinya dan tidak mengendahkannya. Inilah kamu silap!

Pernahkah kamu mendengar kata hikmah ini?

"Keep your friends close, and your enemies closer"
-Sun Tzu-

Maknanya cukup jelas! Pasti kamu rapat dengan kawan kamu dan sering meluangkan masa bersamanya. Tetapi kamu perlu lebih rapat dengan musuh kamu bagi mengalahkannya!

Dalam hal ini, kamu perlu sentiasa mendahului musuh kamu. Kamu perlu sentiasa mahu mendahului masa. Apabila janji temu jam 9 pagi, 8.40 pagi kamu sudah terpacak di lokasi itu. Apabila program bermula jam 11 pagi, 10.40 pagi kamu sudah ada mendaftarkan kehadiran.

Adakah perkara ini mustahil? Tidak! Ini dapat dilakukan.

"If you put your mind into it, you can do almost anything!"

Secara peribadi, saya juga sentiasa berperang dengan masa. Setiap tugasan yang dilakukan ada tempoh masanya. Setiap majlis atau program yang mahu dihadiri ada jadual yang sudah ditetapkan. Ini adalah perjuangan yang selalu ditempuhi saban hari. Kadang-kadang masih tewas dalam perjuangan ini. Tetapi itu bukan penghalang bagi meneruskan perjalanan. Ia menjadi perangsang supaya menjadi individu yang lebih baik. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan bagi menghadapi segala cabaran ini.

Insyallah, apabila kita terus berjuang penuh iltizam dan ketekunan, pasti kita menjadi sebahagian daripada golongan yang berjaya. Amin!

Thursday, June 17, 2010

Program Hujung Minggu@PTS

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Sukacita dimaklumkan, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (PTS), penerbit buku umum pelbagai kategori di Malaysia akan mengadakan program Hujung Minggu @ PTS sebagaimana berikut:

Tarikh: 26 & 27 Jun 2010 (Sabtu & Ahad)
Masa: 10 pagi - 6 petang
Tempat: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
No. 12, Jalan DBP, Dolomite Business Park
68100 Batu Caves, Selangor
Klik di sini bagi melihat lokasi PTS: http://pts.com.my/index.php/contact/

Antara pengisian program ini ialah:
  1. Pameran dan jualan buku: diskaun dari 25% (semua buku) - 50% (buku terpilih) - bayaran dalam bentuk tunai, kad kredit/debit
  2. Sesi bersama penulis buku remaja (26 Jun):
    Antara penulis yang akan hadir ialah Bahruddin Bekri, Kusyi Hirdan, Saridah Hamid, Ney Johan, Farihah Iskandar, dan Anis Adlyana.
  3. Sesi bersama pelukis Komik-M: Rezarly Musa (Reja) (26 Jun)
  4. Rakaman video dan audio ulasan buku/pendapat bersama pengunjung (26 Jun)
  5. Internet percuma (wifi) bagi pengunjung yang bawa laptop sendiri
Sehubungan dengan itu, PTS menjemput tuan dan puan menghabiskan masa hujung minggu pada 26-27 Jun nanti di premis PTS. Rebutlah peluang membeli buku-buku terbitan PTS pada kadar diskaun istimewa sambil beramah mesra dengan penulis-penulis novel remaja.

Selain itu, bagi kanak-kanak yang mahu lukisan karikatur wajah mereka, dapatkannya secara percuma daripada En. Reja, pelukis Komik-M PTS dengan syarat perlu membeli Komik-M.

Bagi tuan dan puan yang berminat mengulas buku PTS yang sudah dibaca, PTS akan rakamkan ulasan tuan dan puan sama ada dalam bentuk video dan audio (podcast). Rakaman video dan podcast ini akan disiarkan di Portal PTS.

Mohon sebarkan e-mel makluman ini kepada peminat-peminat buku PTS yang lain supaya mereka juga tidak terlepas peluang berhujung minggu di PTS.

Jumpa tuan dan puan di Program Hujung Minggu @ PTS pada 26-27 Jun 2010 nanti.

Terima kasih.
----------------------------------------------------------------------------------------------------

Sumber: Email yang dikirimkan oleh

Baca@LRT Menyokong Gerakan Membaca Perdana, Sabtu 26 Jun 2010



Baca@LRT mengalihkan 'sokongan' dan 'kerjasama' 300% kepada gerakan membaca rakan sekutu kita di Selangor. Ini mengambil kira respon rakan-rakan sekutu yang banyak membantu Baca@LRT selama ini.

Dengan itu kami menganjakkan gerak kerja Baca@LRT Jun (Tema:Palestin) ke tarikh lain.

Kami bermesyuawarah dan ini keputusan kami,

"Kita akan turun dan menyokong 300% gerakan membaca di Taman Tasik PKNS Shah Alam pada 26 Jun 2010 Gerakan Membaca Perdana!"

Tentatifnya

Jam 9.00 pagi
Tarikh 26 Jun 2010 (Sabu)
Lokasi Taman Tasik PKNS Shah Alam




Kita membantu rakan-rakan yang berusaha ke arah budaya membaca. Dijangka 10,000 pembaca akan berada di situ.

Mohon hebahan di Facebook dan Blog kepada Tuan dan Cik Puan yang sedang membaca Notes ini.

BACA@... Buku Anda Cara Anda

Terima kasih

ZAMRI MOHAMAD
Perhubungan Komunikasi Baca@ dan BACA@LRT

----
Maklumat lanjut boleh didapati di sini:

http://kavyan.blogspot.com/2010/04/gerakan-membaca-perdana.html

Wednesday, June 16, 2010

Tip Penterjemahan: Terjemahan Hadis: Kanak-Kanak pun Faham


Apabila Nabi Muhammad bercakap, apa yang beliau cakapkan itu dapat difahami oleh sesiapa sahaja yang mendengarnya, sehingga kanak-kanak pun faham. Begitu jelasnya ciri percakapan Nabi Muhammad.

Tetapi kata-kata Nabi Muhammad yang begitu mudah dan jelas dalam bahasa Arabnya, apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, orang yang pernah belajar agama di universiti Jordan pun belum tentu faham! Inilah yang pernah dialami oleh pasukan penterjemah buku "Riadhus Salihin" susunan Imam Nawawi. Penyemak projek itu adalah Prof. Madya Dr. Arief Salleh Rosman dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sesekali penterjemah PTS tidak faham teks terjemahan Melayu-Indonesia yang sudah terbit. Mereka pun bertanya kepada Dr. Arief apa makna terjemahan itu. Apabila beliau pun tidak faham teks Melayu-Indonesianya, beliau terpaksa membaca teks Arab hadith berkenaan dalam "Riadhus Salihin" edisi Arab, barulah beliau faham.

Ciri "boleh faham" ini adalah ciri penting yang dikekalkan dalam terjemahan hadith. Jangan sampai orang yang membaca terjemahan itu terpaksa bertanya kepada pakar-pakar agama, ataupun membuka kamus-kamus Arab.

Apabila makna ayat terjemahan kata-kata Nabi Muhammad itu tidak difahami, padahal dalam teks Arabnya ia sangat mudah dimengerti, maka dari sudut etika-ilmu, sebagai penterjemah kita sudah melakukan kesalahan, kerana kita memberi gambaran yang salah tentang kemahiran-berbahasa dan kemahiran-berkomunikasi Nabi Muhammad.

Beliau mempunyai profisiensi bahasa yang amat tinggi. Apabila beliau bercakap, orang kafir pun faham. Malah, musuhnya pun faham. Paderi Yahudi dan Kristian pun faham.

Justeru kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad perlu diterjemahkan dengan menggunakan bahasa yang orang kafir pun faham. Ini adalah sunnah bahasa dan sunah komunikasi Nabi Muhammad.

Tetapi, banyak teks terjemahan hadis dalam Bahasa Melayu, jangankan orang kafir, sesama ustaz pun tidak faham!

NOTA: Terjemahan Melayu-Indonesia buku "Riadhus Salihin" sudah diterbitkan sekurang-kurangnya dalam 6 edisi terjemahan, oleh pelbagai penerbit di Indonesia, dan diimport serta dijual di dalam kedai-kedai buku Malaysia.

Oleh:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Sumber: http://universitipts.com/index.php/site/comments/terjemahan_hadis_kanak-kanak_pun_faham/

Monday, June 14, 2010

Tip Melancong: Gambar Pasport


Pasport Antarabangsa adalah salah satu dokumen peribadi yang penting, selain daripada kad pengenalan, surat beranak dan buku bank kita.

Bagi mereka yang selalu ke luar negara sama ada atas urusan bisnes atau percutian, pasport adalah dokumen penting yang perlu dijaga rapi.

Mahu memohon pasport baru kerana akan ke luar negara buat pertama kali dalam sejarah kehidupan? Ataupun mahu membuat pasport baru kerana pasport lama sudah luput tarikhnya?

Dokumen yang perlu disediakan adalah:

1. Kad pengenalan (Dokumen asal dan salinan)
2. 2 Keping gambar pasport terbaru berukuran 3.5cm X 5 cm, berlatar belakang biru
3. Pasport lama (jika ada)
4. Bagi mereka yang berumur di bawah 18 tahun
- Kad pengenalan (Dokumen asal dan salinan)
- Sijil kelahiran / surat beranak (Dokumen asal dan salinan)
- Ibu atau bapa perlu hadir bersama kad pengenalan mereka (Dokumen asal dan salinan)


----- ----- ----- ----- ----- ----- ----- ----- ----- ----- ----- -----

Bercakap mengenai gambar pasport, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian:

1. Perkhidmatan Gambar Siap Segera
Bagi mereka yang tidak sempat mengambil gambar pasport, usah risau, ada perkhidmatan mengambil gambar siap segera yang disediakan di pejabat imigresen. Harganya mungkin lebih tinggi, berbanding harga mencuci gambar pasport di kedai gambar biasa.

2. Gambar terkini sekurang-kurangnya 2 bulan.
Bagi mereka yang sibuk dan tidak sempat mengambil gambar pasport baru, kamu boleh menggunakan gambar yang sudah ada. Atau cuci negatif (tetapi sekarang semuanya digital) gambar itu. Namun begitu, kamu perlu memastikan gambar itu sekurang-kurangnya berusia 2 bulan daripada tarikh permohonan pasport. Pihak imigresen begitu teliti mengenai gambar pasport ini.

3. Gambar sama dengan orangnya.
Antara logika di sebalik gambar terkini adalah bagi mereka yang sering bertukar-tukar fesyen rambut, dan juga warna rambut. Walaupun bagi kita, ia perkara biasa, tetapi apabila berada di negara asing, kita mungkin menempah bahaya. Mungkin kamu pernah dengar ungkapan ini, "Sukar untuk dibezakan! Semua orang korea nampak serupa sahaja!" Inilah ungkapan yang juga diperkatakan oleh pegawai imigresen di negara asing. "Semua orang Malaysia nampak sama sahaja!"

Jadi apabila gambar pasport kamu tidak sama dengan orangnya (kamulah itu), ia mungkin menganggu kelancaran kelulusan di imigresen. Ada satu insiden, gadis A tidak memakai cermin mata di dalam gambar pasport, tetapi apabila dia melancong, pegawai imigresen menghadapi masalah menyamakan si gadis dengan gambarnya. Akhirnya, si gadis terpaksa membuka cermin matanya di setiap kaunter pemeriksaan imigresen.

Bagaimana dengan isu fesyen rambut berbeza atau warna rambut pula? Adakah rambut itu dapat dibuka dan dipasang semula? Mungkin ada yang berpendapat, ini isu kecil. Ya, memang benar, namun kita melancong mahu menggembirakan hati, pasti kita tidak suka ditahan lama di kaunter imigresen. Jadi jangan beri mereka sebab musabab itu.

4. Gambar pasport baru tidak boleh sama dengan gambar pasport lama
Pihak imigresen sangat teliti mengenai hal ini. Kamu perlu mengambil gambar yang baru, berbeza dengan gambar di pasport lama. Walaupun ada yang berkata, "saya tidak berubah!", gambar baru perlu diambil. Banyak perkara yang boleh berlaku dalam tempoh 5 tahun. Ambil sahajalah gambar baru, lebih mudah memohon pasport yang baru. :D

Selamat Melancong! :D

Thursday, June 10, 2010

Tip Penterjemahan: Teknik Menterjemah Peribahasa Asing



"Berpegang teguh dengan sunnah ku dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin al-Mahdiyin dan gigitlah sunnahku dengan gigi geraham."

Dalam ayat di atas, ungkapan "gigitlah dengan gigi geraham" adalah peribahasa.

Ada 4 teknik menterjemahkan peribahasa:

(i) Pinjam peribahasa itu secara hurufiah, yakni terjemahkan kata-demi-kata.

Contoh terjemahan Melayu: "gigitlah dengan gigi geraham" adalah terjemahan kata-demi-kata.

Banyak peribahasa asing dipinjam oleh Bahasa Melayu menggunakan teknik terjemahan kata-demi-kata. Contohnya: 'bulan madu' (honeymoon), 'bintang filem' (film star) dll.

(ii) Jangan dipinjam peribahasa asing itu, sebaliknya terangkan makna peribahasa itu.

Teknik ini paling sesuai apabila (a) dikhuatiri peribahasa asing itu terlalu 'pelik bunyinya' jika diterjemahkan kata-demi-kata, (b) apabila peribahasa asing itu menyusahkan pembaca memahami apa makna frasa dan kalimat yang sedang dibacanya.

(iii) Gantikan peribahasa asing itu dengan peribahasa Melayu yang sama maknanya.

Contohnya, peribahasa "When in Rome do as the Romans do." dapat digantikan dengan "Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak." ataupun "white as snow" dapat digantikan dengan "putih bak santan".

(iv) Teks asal yang bukan peribahasa dapat diterjemahkan menggunakan peribahasa Melayu.

Contohnya, ayat "the road was very winding" digantikan dengan "jalannya bagaikan ular kena palu."

Oleh: Puan Ainon Mohd, Pengerusi PTS Publications

(Sumber: http://universitipts.com/index.php/site/comments/tek/)

Tuesday, June 8, 2010

Tip Freelancer: Reputasi Menepati Masa


Semalam saya membaca kongsian daripada seorang rakan yang melepaskan geramnya, apabila seminar yang dihadirinya tidak berjalan mengikut jadual. Bagi individu yang sibuk sepertinya, masa adalah faktor yang penting. Banyak tugasan yang perlu diselesaikan, bukan menunggu penganjur kursus yang asyik lambat menguruskan segalanya.

Bayangkan, senaman pagi pada jam 7, sebelum sarapan, bertukar menjadi jam 8.00 selepas sarapan. Tidak dibuat orang membuat senaman SEJURUS selepas sarapan pagi. Saya faham isu yang dikongsi olehnya.

Pihak penganjur masih tidak ada di dalam dewan kuliah, padahal rakan saya sudah terpacak di sana, tepat pada masa mengikut jadual yang diberikan. Akhirnya dia mengambil masa itu membuat kerja sendiri sambil menunggu kehadiran peserta lain dan penceramah. Nasib baik seminar itu gratis, jadi tidak ada terma 'membazir wang', cuma 'membazir masa'.

Apapun, saya harap yang terbaik buat dirinya, semoga dia masih dapat mempelajari pelbagai ilmu baru dalam seminar itu. Itu adalah tujuan utama dia menghadiri seminar itu, bagi mendapatkan ilmu baru.

Secara amnya, isu menepati masa memang isu yang tiada noktahnya. Ramai yang tidak menyedari isu masa ini boleh membantu kita DAN ia juga boleh menjatuhkan kita. Dalam kes rakan saya tadi, isu masa sudah menghancurkan reputasi pihak penganjur. Ini adalah perkara yang perlu dipandang serius. Mungkin selepas ini, rakan saya berfikir seribu kali untuk menyertai sebarang program yang diuruskan penganjur itu, walaupun ia gratis.

Pasti semua tahu kata hikmah ini 'Masa itu Emas'. Masa itu memang berharga. Bagi pengurus yang berjaya, mereka menyedari hakikat ini dan pasti masa akan diuruskan sebaiknya. Ini ada beberapa tip yang dapat diberikan perhatian:

1. Katakan TIDAK kepada perkara yang tidak perlu
Kadang-kadang kita mahu melakukan segalanya. Mahu pergi ke sana, pergi ke sini, mahu berjumpa dengan si A, si B, mahu pergi membeli belah di pasaraya A dan pasaraya B, mahu berjalan-jalan cari makan, mahu menghadiri pelbagai kursus, dan senarai ini berterusan.
Katakan TIDAK kepada perkara yang tidak perlu. Tidak perlu pergi membeli-belah di pelbagai lokasi, apabila semua barangan boleh dibeli di satu tempat sahaja. Rancang perjumpaan dengan rakan dan kenalan, supaya ia dapat dilakukan dalam masa sehari. Bukan dua, tiga hari. Dua, tida hari lebihan itu dapat digunakan untuk perkara lain.

2. Buat senarai PRIORITI
Pasti ada banyak perkara yang perlu dilakukan dalam sehari, seminggu, dan sebulan. Wujudkan senarai PRIORITI, perkara yang perlu di lakukan, atau kursus yang mahu dihadiri. Tetapkan tempoh masa bagi menyelesaikan tugasan itu. Sememangnya latihan itu penting, bagi memastikan kita dapat membiasakan diri. Insyallah. Pasti boleh!

3. Rancang MASA kamu
Pasti selalu dengar terma ini 'Janji Malaysia, pukul 8 sebenarnya 8.30. Biasalah.' Ini adalah keadaan yang biasa berlaku. Kebanyakannya pasti memberikan masa kecederaan selama 30 minit. Alangkah bagusnya kalau datang lebih awal 30 minit, daripada lewat 30 minit. Apabila berurusan dengan orang luar, ini adalah BIG NO-NO kerana kebanyakan negara lain amat mementingkan ketepatan masa.

Sepanjang percutian saya ke Hong Kong dan China bulan lepas, ini adalah perkara yang jelas dilakukan oleh pemandu bas kami. Jam digital ada di hadapan setiap bas, jelas menunjukkan masa. Apabila mengikut jadual, bas bergerak pukul 8 pagi, pemandu itu pasti menunggu jam itu bertukar menjadi jam 8. Walaupun bas sudah penuh, dan jam menunjukkan jam 7.50 pagi, dia tetap menunggu tepat jam 8 dan baru bergerak.

4. Simpan REKOD bagi pelbagai urusan
Ada yang menggunakan buku organiser sebagai penyimpan rekod segala urusan yang perlu dilakukan pada bulan itu dan seterusnya pada tahun itu. Bagi saya pula, buku organiser berat mahu dipikul ke sana dan ke mari, jadi saya simpan nota dalam HP saya. Di rumah pula, ada papan putih yang diisikan dengan semua urusan yang perlu dilakukan pada bulan itu. Ringkas tetapi memudahkan perancangan masa.

5. Apabila ada KONFLIK MASA, bagaimana?
Apabila ada konflik masa, seperti ada dua urusan yang perlu diuruskan pada waktu yang sama, atau ada dua kursus yang mahu dihadiri pada waktu yang sama, kita perlu buat analisis. Apa kelebihan dan kekurangan kedua-dua pilihan itu. Senaraikan sebanyak yang mungkin. Apabila senarai itu siap, kita dapat melihat keadaan lebih jelas dan dapat membantu kita membuat pilihan yang terbaik pada ketika itu.

6. Kita tidak SEMPURNA.
Kita adalah mahkluk ALLAH yang tidak sempurna, jadi tidak perlu terlalu teliti, mengambil terlalu banyak masa, semata-mata mahukan hasil kerja sempurna. Walaupun kita sudah memberikan yang terbaik, pasti masih ada yang tidak 'elok' di mata orang lain. Kita tidak dapat menggembirakan semua orang. Apa yang penting adalah, kita berikan yang terbaik dalam setiap tugasan yang dilakukan, memastikan kita menepati masa yang diberikan dan berdoa untuk yang terbaik. Insyallah.

-------

08.06.06 Genap 4 tahun. Alhamdullillah.


Alhamdullillah. 08.06.10 genap 4 tahun kami menjalani kehidupan bersama. Kehidupan ini diceriakan lagi dengan kehadiran Danial Jazmi, si kecil bijaksana. (Pada ketika ini, dia sibuk duduk di sebelah, bertanyakan apa yang sedang ditulis oleh uminya.)


Pelbagai kisah suka dan duka berlaku sepanjang 4 tahun ini, dan ia semua mematangkan dan menjadikan kami insan yang lebih baik.

Semoga hubungan ini terus berkekalan ke akhir hayat. Insyallah. AMIN!

Sunday, June 6, 2010

Tip Freelancer: Duit Duit Duit




Bagi seorang freelancer, dia perlu aktif mencari kerja, sama ada projek penterjemahan, editing, penulisan, fotografi, desain grafik dan sebagainya.

Ada dua jenis pendapatan yang diterima oleh freelancer. Keduanya perlu dititikberatkan oleh si freelancer.


1. Pendapatan jangka pendek
  • Biasanya tugasan yang diterima adalah ringkas, pendek dan urgent.
  • Pendapatan yang diterima selepas tugasan diselesaikan. Ada klien yang menetapkan tempoh pembayaran sehingga 3 bulan. Pastikan kamu tegas dalam proses pembayaran. Perjanjian sebelum tugasan dimulakan juga perlu diutamakan.

  • Pendapatan yang diterima dapat menampung keperluan harian, mingguan, bulanan.
  • Tiada hasil fizikal yang dapat diperakui sebagai hasil kerja, hanya nilai dalam bank akaun yang sentiasa berubah-ubah. Walaupun ada hasil fizikal, tidak ada nama yang sertakan sebagai bukti.
  • Bagi penterjemah, editor dan penulis, pendapatan jangka pendek adalah tugasan dokumen komersial seperti iklan, brosur, risalah, laman web, sijil, dan sebagainya. Kebiasannya semua tugasan itu tidak menggunakan nama kita sebagai penterjemahnya. Bayarannya berbeza mengikut kadar komersial yang ditetapkan. Pastikan kamu pandai bernegosiasi dengan klien.


2. Pendapatan jangka panjang
  • Biasanya tugasan yang diterima adalah panjang berjela-jela dan tidak begitu urgent
  • Pendapatan yang diterima adalah berdasarkan jumlah jualan buku terjemahan dan copyright yang dimiliki. Kebiasannya bayaran dibuat secara tahunan. Pastikan kamu memahami perjanjian dengan penerbit mengenai perincian pembayaran ini.
  • Pendapatan yang diterima dapat menampung keperluan yang lebih besar. Ada rakan penulis dan penterjemah yang membeli aset rumah, kenderaan dan ada yang membawa keluarga melancong ke luar negara, dengan menggunakan pendapatan royalti daripada penjualan bukunya.
  • Nilai dalam akaun bank berubah-ubah pada masa tertentu sahaja dan ada hasil fizikal sebagai bukti, seperti buku terjemahan dan buku karya asal yang diterbitkan.
  • Bagi penterjemah, editor dan penulis, pendapatan jangka panjang adalah jualan buku terjemahan, dan karya asal yang sering diulang cetak tahun demi tahun. Pastikan juga usaha menulis dan menterjemah karya diteruskan. Wujudkan rangkaian karya kreatif yang pelbagai, bagi memastikan pendapatan jangka panjang yang berterusan. Karya juga perlu evergreen dan sesuai dengan pengedaran zaman.

Friday, June 4, 2010

Pameran Buku Read Malaysia 2010




Pameran Buku Read Malaysia 2010

Tarikh: 04 Jun - 13 Jun • 11.00 pagi - 10.00 malam
Tempat: Pusat Pameran & Konvensyen Antarabangsa Malaysia, MINES Resort City

Pameran buku tahunan ini melibatkan 500 kiosk dan mempamerkan lebih 20 ribu jenis buku merangkumi bahasa Melayu, Cina, tamil dan Inggeris.

Read Malaysia'10 yang dianjurkan oleh MINES Events Management Sdn Bhd berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensi Antarabangsa (MIECC), Bandar Mines, Seri Kembangan.

Bermula pada 4 Jun sehingga 13 Jun 2010, berkunjunglah ke pameran buku terbesar di The Mines.

Isi masa cuti sekolah di pameran ini dari pukul 11.00 pagi hingga 10.00 malam.

Buku-buku terbitan PTS dibawa oleh wakil Gramedia di pameran ini.

Mari berkunjung dan meriahkan aktiviti di sini.

(Sumber: http://pts.com.my)

----
Ini adalah salah satu aktiviti berfaedah yang dapat dilakukan pada cuti sekolah ini. Mari beramai-ramai memeriahkan aktiviti ini. :D

Tuesday, June 1, 2010

Tip Melancong: Simpan pasport yang sudah 'mati'



Peringatan kepada semua teman dan juga diri sendiri. Walaupun dokumen perjalanan kita sudah luput tarikhnya, usah dibuang. Simpan dokumen itu, walaupun sudah luput tarikhnya.

Situasi 1:

Mengemas rumah yang sangat berselerak. Setiap dokumen dan helaian kertas di teliti satu per satu. Semua yang sudah luput akhirnya dimasukkan ke dalam plastik hitam, termasuklah pasport antarabangsa..

Situasi 2:

Mahu berpindah rumah. Tetapi tidak semua barang dapat dibawa. Jadi terpaksa membuang banyak barang yang tidak diperlukan lagi. Ini termasuk dokumen yang sudah tamat tarikhnya, termasuklah pasport antarabangsa.

Situasi 3:

Mahu mengosongkan almari yang penuh dengan pelbagai bahan koleksi. Semuanya dikeluarkan dan di teliti satu per satu. Semua yang sudah tidak valid lagi dibuang, termasuklah passport antarabangsa.
---
Pasti salah satu situasi itu pernah berlaku kepada kamu atau individu yang kamu kenali.

Bayangkan situasi ini pula:

Situasi A:

Ada promosi harga tiket kapal terbang. Kamu mengambil peluang ini mahu bercuti ke luar negara bersama keluarga. Kamu sudah berada di laman web bagi menempah tiket ke destinasi antarabangsa. Ada satu bahagian yang meminta perincian pasport kamu, seperti tarikh luputnya. Kamu tahu pasport sudah luput dan berazam ke imigresen pada keesokan harinya. Tiba di imigresen, pegawai di sana meminta pasport lama bagi membuat pasport yang baru. Pasport lama? Sudah buang!

Situasi B:

Kamu dihantar oleh syarikat ke luar negara. Kamu bertolak dalam seminggu. Kamu perlu menghantar semua butir peribadi termasuk maklumat dokumen perjalanan, pasport kamu. Kamu tahu pasport sudah luput dan berazam ke imigresen pada keesokan harinya. Tiba di imigresen, pegawai di sana meminta pasport lama bagi membuat pasport yang baru. Pasport lama? Sudah buang!

---

Apabila kamu tidak dapat memberikan pasport lama kepada pegawai imigresen, kamu tidak dapat membuat pasport yang baru. Kamu dikehendaki membuat laporan polis terlebih dahulu, bagi melaporkan pasport yang 'hilang' itu. Kemudian, kamu perlu menunggu selama sebulan, sebelum menghantar semula permohonan pasport baru.


Akibatnya

Situasi 1:

Promosi tiket mungkin sudah habis selepas sebulan. Sama ada kamu tidak dapat pergi bersama keluarga, ataupun kamu terpaksa membeli tiket lain selepas sebulan yang harganya jauh lebih mahal daripada harga promosi.

Situasi 2:

Kamu tidak dapat pergi ke luar negara atas urusan syarikat. Terpaksa mengambil peluang lain (jika ada lagi) selepas sebulan.

---

Menurut kepada pegawai imigresen itu, pasport perlu disimpan sekurang-kurangnya tiga tahun, walaupun ia sudah luput tarikhnya. Pada pendapat saya, simpan sahaja pasport yang sudah tamat tarikhnya itu, tidak kira berapa tahun pun, (tiga, lima atau sepuluh tahun) sehingga pasport baru dibuat. Simpan semua dokumen yang penting ini, walaupun sudah tamat tempoh dalam satu bekas yang senang dicari kemudian.

Biar menyimpan walaupun sudah mati, jangan menyusahkan di kemudian hari.

Selamat melancong! :D