Showing posts with label Tip Penulisan. Show all posts
Showing posts with label Tip Penulisan. Show all posts

Sunday, October 23, 2011

Tip Penterjemahan 2: Tatabahasa

Tip Penterjemahan 2: Tatabahasa yang betul dalam bahasa inggeris, tidak tentu betul dalam bahasa melayu.

Penggunaan perkataan 'where' di tengah-tengah ayat adalah biasa dalam bahasa inggeris.

Contoh: There is also a direct coach to Yangshuo where you can explore the sights, shops and restaurants the city has to offer.
 
Namun dalam bahasa melayu, di mana hanya digunakan bagi persoalan.

Terjemahan yang salah: Terdapat juga koc langsung ke Yangshuo di mana anda boleh menerokai tempat-tempat menarik, kedai-kedai dan restoran yang ditawarkan oleh bandar.

Terjemahan yang lebih sesuai: Terdapat juga bas persiaran terus ke Yangshuo bagi sesiapa yang mahu melawat pelbagai tempat menarik, kedai dan restoran di bandar.

*Latihan tambahan: Terdapat beberapa lagi kesalahan penterjemahan di dalam ayat yang salah itu. Apakah ia?

Tuesday, July 27, 2010

Tip Penulisan: Ayat Lengkap Lebih Indah Dibaca

Tip Bahasa Sastera: Dialog yang Menggunakan Ayat Lengkap adalah Lebih Indah Dibaca

Karya sastera adalah karya yang dituliskan dengan menggunakan gaya bahasa sastera, baik pada bahagian naratifnya, mahupun pada dialog-dialognya.

Novel-novel yang bertaraf sastera mempunyai ciri karya evergreen dalam pasaran. Dengan demikian penulisnya mempunyai peluang menerima royalti setiap tahun, selama bertahun-tahun.

Ayat-ayat dialog yang dituliskan dalam bentuk ayat-ayat yang lengkap unsur subjek-predikatnya adalah ciri Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Ayat lengkap adalah lebih indah dan mempunyai ciri-ciri bahasa sastera. Sebaliknya, ayat-ayat dialog yang menggunakan ayat tergantung adalah ciri Bahasa Melayu Rendah (BMR).

Contoh ayat tergantung adalah ayat yang tiada mempunyai subjek. Dari sudut tatabahasa, ayat tergantung adalah salah.

Contoh-contoh:

"Kenapa tidak turun makan?" tanya Ramlan. (ayat BMR - tiada subjeknya)

"Mengapa kamu tidak turun makan?" tanya Ramlan. (ayat BMT - ada subjeknya)

"Ya, memang hantu. Hantu cinta," jawab Faridah. (ayat BMR - tiada subjeknya)

"Ya, aku memang hantu. Aku hantu cinta," jawab Faridah. (ayat BMT - ada subjeknya)

"Bila boleh berjumpa lagi?" kata Eddy. (ayat BMR - tiada subjeknya)

"Bilakah kita boleh berjumpa lagi?" kata Eddy. (ayat BMT - ada subjeknya)

"Wah! Hebatnya!" kata Zaharah. (ayat BMR - tiada subjeknya)

"Wah! Hebatnya candi Borobodur ini!" kata Zaharah. (ayat BMT - ada subjeknya)

"Kenapa jual mahal? Sekali mandi, biar basah semuanya, jangan ditahan-tahan. Sekali dosa, biar berhabisan, jangan separuh jalan," kata Hanifah kepada Sayuti. (ayat BMR - tiada subjeknya)

"Mengapa kamu jual mahal? Sekali kamu mandi, biar basah semuanya, jangan ditahan-tahan. Sekali kamu berdosa, biar berhabisan, jangan separuh jalan," kata Hanifah kepada Sayuti. (ayat BMT - ada subjeknya)

Dialog sastera adalah dialog yang hanya dapat dibaca dalam karya-karya bermutu sastera. Dialog sebagaimana yang digunakan apabila orang bercakap di pasar malam, di stesen bas, ataupun dalam dapur rumah sendiri tidak mungkin bermutu sastera. Apabila novel ditulis dengan menggunakan dialog orang bercakap di pasar malam, novel itu tidak bermutu sastera.

Banyak penulis novel popular menulis ayat-ayat naratif yang tergantung, yakni tidak lengkap subjek-predikatnya.

Contoh: Zaleha terdiam. Tergamam. Tidak dapat hendak berkata lagi. Teramat terperanjat. Bagaikan tidak percaya.

Ayat-ayat tergantung seperti di atas tidak bermutu sastera.

NOTA: Dalam surah Yusuf dan dalam seluruh al-Quran, tidak terdapat ayat-ayat tergantung. Semua ayat dalam al-Quran adalah lengkap subjek-predikatnya, baik ayat dialog mahupun ayat naratif.

Oleh Puan Ainon Mohd

Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Sumber: http://universitipts.com/index.php/site/comments/ciri-ciri_bahasa_yang_indah_subjek_dalam_ayat_dialog/

Tip Penulisan: Menggunakan Imbuhan dalam Karya

Tip Bahasa Sastera: Imbuhan Lengkap Mencipta Gaya Bahasa Lebih Indah

Bahasa Melayu Tinggi (BMT) adalah salah satu unsur yang wajib ada dalam gaya bahasa sastera, maksudnya hanya penggunaan Bahasa Melayu Tinggi yang dapat menghasilkan ayat-ayat yang indah dibaca.

Salah satu aspek yang membezakan BMT daripada BMR (Bahasa Melayu Rendah) adalah penggunaan imbuhan. BMT menggunakan lebih banyak imbuhan, manakala BMR tidak menggunakan banyak imbuhan.

Ayat-ayat yang tidak menggunakan imbuhan lengkap akan menghasilkan gaya bahasa seperti yang digunakan dalam novel-novel picisan. Novel-novel picisan tidak dapat bertahan berbelas-belas, malah berpuluh-puluh, tahun dalam pasaran.

Contoh-contoh:

Ibu pun ambil baju Ameerah di dalam almari. (BMR)

Ibu pun mengambil baju Ameerah di dalam almari. (BMT)

Dahulu kami pernah main-main di bawah pokok besar itu. (BMR)

Dahulu kami pernah bermain-main di bawah pokok besar itu. (BMT)

"Kamu sibuk hantar SMS. Kamu sibuk telefon buat hati, ya?" (BMR)

"Kamu sibuk menghantar SMS. Kamu sibuk menelefon buah hati, ya?" (BMT)

Ayat-ayat yang tidak menggunakan imbuhan yang betul adalah salah dari sudut tatabahasanya dan semantiknya. Sebagai contoh, perkataan 'telefon' (barang) lain maknanya dengan perkataan 'menelefon' (perbuatan). Begitu juga perkataan 'main-main' (sikap) dengan perkataan 'bermain-main' (perbuatan).

Oleh Puan Ainon Mohd

Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Sumber:http://universitipts.com/index.php/site/comments/ciri-ciri_bahasa_yang_indah/

Tip Penulisan: Penggunaan Deskripsi Teknologi

Pro dan Kon Deskripsi Teknologi dalam Novel

Baguskah apabila dalam novel diterangkan jenis teknologi yang digunakan oleh watak-watak, sebagai contoh jenis teknologi komunikasi yang digunakan seperti SMS, MMS, emel, chat, blog, Face Book, twitter dan lain-lain?

Sebagai contoh, dituliskan begini:

a. Sarah terdengar HPnya berbunyi, tandanya ada SMS masuk.

b. Pagi itu Herman membuka Face Book dan dia melihat ada mesej dari Juli pada dindingnya yang memberitahu tunangnya itu sudah tiba di Paris dari London.

c. Rozilah menghantar kepada Hendri fotonya yang terbaru dengan MMS supaya ditunjukkan kepada ibu Hendri, kerana menurut Hendri ibunya mahu melihat dulu wajah gadis yang menjadi pilihan hati anak lelaki kesanyangannya.

d. YB Mukmin menggunakan twitter bagi mengikuti perkembangan terbaru dunia politik dan bagi berkomunikasi dengan penyokong-penyokong partinya.

Ayat-ayat seperti di atas mencipta 2 kesan:

(i) Dengan adanya deskripsi teknologi komunikasi yang digunakan oleh watak-watak, aspek realiti dalam novel menjadi lebih baik.

Namun,

(ii) Disebabkan teknologi komunikasi cepat berkembang, realiti juga cepat berubah. Ini boleh menyebabkan cerita menjadi ketinggalan zaman dengan sama cepatnya.

Nota: Remaja hari ini tidak tahu benda yang disebut 'disket'.

Oleh Puan Ainon Mohd

Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Sumber: http://universitipts.com/index.php/site/comments/pro_dan_kon_deskripsi_teknologi_dalam_novel/

Tip Penulisan: Menghasilkan Ayat yang Indah

Tip Bahasa Sastera: Penggunaan Kata Gramatikal yang Betul Menghasilkan Ayat-Ayat yang Indah

Bahasa yang bermutu sastera adalah bahasa yang betul dari sudut tatabahasanya dan semantiknya.

Salah satu aspek tatabahasa adalah penggunaan perkataan gramatikal (grammatical words). Perkataan gramatikal menerangkan hubungan-hubungan logik antara bahagian-bahagian dalam ayat.

Salah satu ciri yang membezakan Bahasa Melayu Rendah (BMR) daripada Bahasa Melayu tinggi adalah jumlah perkataan gramatikal.

Penggunaan perkataan gramatikal yang betul menghasilkan ayat-ayat yang bukan hanya betul tetapi lebih sedap dibaca. Demikian pula sebaliknya, dengan menggunakan perkataan gramatikal yang salah, ayat menjadi salah dari sudut tatabahasanya, mahupun maknanya.

Dialog yang tidak menggunakan perkataan gramatikal yang betul dan lengkap menghasilkan dialog bahasa basahan.

Contoh:

"Dia pergi kedai dobi tadi, hendak hantar baju-baju kotor untuk dibasuh." (BMR)

"Dia pergi ke kedai tadi, hendak menghantar baju-bajunya yang kotor untuk dibasuh." (BMT)

"Agak-agak dia sesuai diambil calon suami?" (BMR)

"Agak-agaknya, dia sesuaikah diambil sebagai calon suami?"

"Mana tahu lima tahun menjadi Melayu Mesir sekarang balik Malaysia, susah bercakap Melayu Kelantan." (BMR)

"Manalah tahu, selepas lima tahun (kamu) menjadi Melayu Mesir, sekarang apabila balik ke Malaysia, (kamu) susah bercakap Melayu Kelantan." (BMT)

Ayat-ayat dialog yang ditulis menggunakan BMR menghasilkan novel-novel yang bermutu komoditi. Salah satu ciri novel komoditi adalah dialog yang ditulis dengan menggunakan gaya bahasa sehari-hari. Novel komoditi sukar bertahan lama dalam pasaran disebabkan ia mudah dapat disaingi oleh novel-novel yang ditulis dengan menggunakan gaya bahasa yang lebih tinggi, justeru terasa lebih indah apabila dibaca.

NOTA: Ayat-ayat dialog dalam surah Yusuf, dan dalam seluruh al-Quran, ditulis menggunakan gaya bahasa tinggi.

Oleh Puan Ainon Mohd

Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Sumber: http://universitipts.com/index.php/site/comments/ciri-ciri_bahasa_yang_indah_kata_sendi/

Wednesday, June 30, 2010

Tip Survival Penulis dan Penterjemah: Bakat Bahasa versus Modal Bahasa

Tip Survival Penulis dan Penterjemah: Bakat Bahasa versus Modal Bahasa

Penulis dan penterjemah adalah "pekerja bahasa" (language worker). Sesiapa sahaja yang bekerja menggunakan bahasa sebagai modal utama, mereka termasuk dalam kategori pekerja bahasa.

Dua modal utama bagi mencapai kejayaan sebagai pekerja bahasa adalah:

1. Bakat bahasa (linguistic talent)

Sebagaimana dengan bakat-bakat lain, bakat bahasa adalah anugerah Tuhan. Termasuk dalam bakat bahasa adalah kepandaian:

(a) Memilih perkataan dan makna perkataan

(b) Menyusun ayat

(c) Mencipta frasa

(d) Mencipta peribahasa, dan lain-lain kemahiran berbahasa.

Seseorang yang bakat bahasanya rendah, meskipun mereka belajar teknik-teknik penulisan, hasil karangan mereka tidak cukup tinggi. Ia ibarat penyanyi yang bakat nyanyiannya rendah, meskipun mereka belajar teknik-teknik seni suara, mutu nyanyian mereka tidak tinggi.

Apabila seseorang itu mempunyai bakat bahasa yang baik, kemudian dia belajar pula teknik-teknik penulisan yang betul, mereka menjadi sangat produktif manakala mutu karangan yang mereka hasilkan akan sangat tinggi.

Begitulah yang berlaku kepada pengarang seperti Abdul Latip Talib. Beliau mempunyai bakat bahasa yang baik, kemudian belajar teknik-teknik penulisan novel sejarah yang betul. Dengan kombinasi bakat dan teknik itu maka beliau dapat mghasilkan banyak karya dalam masa yang singkat dengan kualiti yang tinggi.

2. Modal bahasa (language capital)

Bakat adalah ibarat pemandu kereta Formula 1. Modal bahasa adalah ibarat kereta Formula 1 itu sendiri. Hanya apabila pemandu Formula 1 memandu kereta Formula 1, barulah kombinasi itu melayakkan mereka masuk balapan Formula 1.

Modal bahasa adalah data bahasa yang terakam dalam memori. Unsur-unsur modal bahasa adalah:

(a) Berapa ribu perkataan

(b) Berapa ribu frasa

(c) Berapa ribu peribahasa

(d) Berapa ribu pola-pola struktur ayat, yang tersimpan dalam memori.

Justeru modal bahasa adalah bank data bahasa dalam otak penulis. Semakin besar jumlah data bahasa yang terakam dalam memorinya, semakin besar modal bahasanya.

Seseorang itu mungkin mempunyai bakat bahasa yang baik, tetapi jika saiz bank data bahasa yang terakam dalam memorinya kecil, dia tidak dapat menghasilkan karangan yang bermutu.

Saiz memori bahasa ditentukan oleh jumlah buku-buku dan genre buku yang pernah dibaca. Orang yang membaca buku-buku kejuruteraan akan mempunyai data bank bahasa yang dipenuhi oleh bahasa kejuruteraan. Mereka dapat menulis dan menterjemah buku-buku kejuruteraan.

Bagi penulis dan penterjemah sastera, kita perlu memiliki saiz bank data bahasa sastera yang besar. Itu bermakna kita perlu banyak membaca buku-buku sastera. Dengan menggunakan data itu barulah kita dapat menghasilkan ayat-ayat yang bermutu sastera.

Inilah yang dilakukan oleh 2 orang pengarang PTS, Firdaus Ariff (Armada Azur) dan Zahiruddin Zabidi (Rabiatul Adawiyah). Mereka berdua telah membeli dan membaca semua novel-novel sejarah Islam karya Abdul Latip Talib sebelum memulakan proses menulis karya mereka sendiri.

Apabila kita membaca novel-novel picisan, memori kita hanya menyimpan perbendaharaan kata, frasa, dan struktur ayat-ayat picisan. Memori bahasa picisan hanya dapat menghasilkan ayat-ayat piicisan. Ia tidak dapat menghasilkan ayat-ayat sastera.

Bak kata pepatah Tamil: Apa yang ada di dalam senduk, itulah yang ada di dalam periuk.

Oleh Puan Ainon Mohd, Presiden, PTS

Sumber:http://universitipts.com/index.php/site/comments/tip_survival_penulis_dan_penterjemah_bakat_bahasa_versus_modal_bahasa1/

Friday, May 7, 2010

Tip Penulisan Blog | Mencari Idea

Bagaimana mahu mencari idea yang mahu ditulis di blog kita?

Idea boleh datang dari pelbagai sumber. Pancaindera kita dapat digunakan sebagai medium bagi mengenal pasti idea yang ada.

Apa sahaja yang kita dengar, lihat, hidu, sentuh, dan pertuturan boleh menjadi sumber idea. Apa sahaja informasi yang adalah idea.

Cabarannya adalah mencari idea yang sesuai dengan niche blog kita. Kita boleh sahaja mencampurkan semua seperti rojak di kedai mamak. Namun, pasti ini memeningkan pembaca. Apa mesej utama yang mahu disampaikan?

Menurut Tuan Azree Hanifiah, setiap entri blog perlu mengandungi satu idea atau topik sahaja. Kita perlu mengelakkan situasi lambakan informasi atau information overload.

Kebanyakan para peserta yang menghadiri Bengkel Blogging Cara Streetmart di UIAM sudah mempunyai blog mereka sendiri. Kenapa mereka hadir pada hari ini? Berikut adalah antara tujuannya:

  1. Mahu mentajamkan kemahiran blogging
  2. Bagaimana mendesain blog?
  3. Bagaimana mahu mendapatkan lebih banyak respon pengunjung?
  4. Bagaimana istiqamah berblog?
  5. SEO - Search Engine Optimization
  6. Mahu membina kredibiti di alam maya

Apakah tujuan kita mewujudkan blog?

Monday, May 3, 2010

Tip Penulisan Iklan Berpengaruh


Program Mini Secret Story
Tarikh: Ahad 2 Mei 2010.
Lokasi: Learning Station, Wangsa Melawati
Masa: 3 - 4 petang

Bagaimana mahu menulis iklan yang menarik perhatian pembaca?
Bagaimana mahu menarik perhatian pembaca dan seterusnya menimbulkan minat mereka kepada produk kita?
Bagaimana mahu menukar minat itu kepada pembelian produk yang diiklankan?
Bagaimana mempengaruhi pelanggan membeli produk kita?

Setiap iklan perlu mempunyai dua gabungan unik ini = Kebaikan produk + Kelebihan produk itu kepada pengguna.

Apa sebenarnya yang dicari oleh pembaca iklan/pengguna produk/pembeli produk?

Setiap individu termasuk awak dan saya sendiri, mempunyai tahap motivasi yang tersendiri.

Istilah yang digunakan oleh Drew Eric Whitman, pengarang buku yang terpilih bagi sesi SS Mei, adalah the Life-Force 8 & The Nine Learned (Secondary) Human Wants.

Istilah yang digunakan oleh Tuan Zamri Mohamad, pembongkar rahsia pada sesi kali ini, adalah Biologically Driven, melalui 8 Butang Emosi dan 9 Butang Logika.

Setiap individu dimotivasikan oleh 8 butang emosi dan 9 butang logika. Setiap iklan yang berkesan, perlu mempunyai gabungan kedua butang ini.



8 Butang Emosi



9 Butang Logika



Tekun memikirkan skrip iklan yang berkesan!


Para Peserta Hebat Program Mini Secret Story


Mahu pelajari sendiri tip penulisan iklan yang berpengaruh?
Pergi ke laman FB SS ini dan daftarkan diri bagi sesi yang akan datang.

http://www.facebook.com/group.php?gid=277262942585#!/seronoksantai