Showing posts with label Tip Freelancer. Show all posts
Showing posts with label Tip Freelancer. Show all posts

Saturday, October 22, 2011

Tip Penterjemahan: Konteks Teks

Sebelum menterjemah sebarang teks yang diperolehi, tentukan konteks ayat, perenggan, teks itu terlebih dahulu. 
Konteks berbeza memerlukan laras bahasa berbeza. 
Menterjemah teks pendidikan menggunakan laras bahasa berbeza berbanding teks fiksyen. 
Teks fiksyen kanak-kanak menggunakan laras bahasa berbeza berbanding teks sains dan teknologi.
 
 

Tuesday, June 22, 2010

Tip Freelancer: Masa - Kawan atau Musuh?


Masa adalah kawan kita atau musuh kita?

Apabila kita menganggapnya sebagai kawan, pasti kita akan menjaganya sebaik mungkin. Menatangnya dengan minyak yang penuh. Persahabatan yang baik dipelihara dan sentiasa di hati kita.

Apabila kita menganggapnya sebagai musuh, pasti kita tidak mengendahkannya. Buat apa kita sibuk menjaga musuh kita dengan baik? Pasti kita selalu mahu memusnahkannya. Dalam erti kata lain, masa tidak menjadi prioriti kita. Kita sering melanggar masa yang dijanjikan dan tidak rasa bersalah apabila berbuat demikian. Akibatnya, kamu sering lambat memenuhi jemputan, hadir ke majlis lambat, dan tidak menepati langsung jadual yang diberikan!

Kalau kamu menganggap masa itu kawan karib kamu, pasti selama ini kamu menjaga masa dan menguruskannya sebaik mungkin. Itu berita baik!

Tetapi kalau kamu menganggap masa sebagai musuh, kamu membencinya dan tidak mengendahkannya. Inilah kamu silap!

Pernahkah kamu mendengar kata hikmah ini?

"Keep your friends close, and your enemies closer"
-Sun Tzu-

Maknanya cukup jelas! Pasti kamu rapat dengan kawan kamu dan sering meluangkan masa bersamanya. Tetapi kamu perlu lebih rapat dengan musuh kamu bagi mengalahkannya!

Dalam hal ini, kamu perlu sentiasa mendahului musuh kamu. Kamu perlu sentiasa mahu mendahului masa. Apabila janji temu jam 9 pagi, 8.40 pagi kamu sudah terpacak di lokasi itu. Apabila program bermula jam 11 pagi, 10.40 pagi kamu sudah ada mendaftarkan kehadiran.

Adakah perkara ini mustahil? Tidak! Ini dapat dilakukan.

"If you put your mind into it, you can do almost anything!"

Secara peribadi, saya juga sentiasa berperang dengan masa. Setiap tugasan yang dilakukan ada tempoh masanya. Setiap majlis atau program yang mahu dihadiri ada jadual yang sudah ditetapkan. Ini adalah perjuangan yang selalu ditempuhi saban hari. Kadang-kadang masih tewas dalam perjuangan ini. Tetapi itu bukan penghalang bagi meneruskan perjalanan. Ia menjadi perangsang supaya menjadi individu yang lebih baik. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan bagi menghadapi segala cabaran ini.

Insyallah, apabila kita terus berjuang penuh iltizam dan ketekunan, pasti kita menjadi sebahagian daripada golongan yang berjaya. Amin!

Tuesday, June 8, 2010

Tip Freelancer: Reputasi Menepati Masa


Semalam saya membaca kongsian daripada seorang rakan yang melepaskan geramnya, apabila seminar yang dihadirinya tidak berjalan mengikut jadual. Bagi individu yang sibuk sepertinya, masa adalah faktor yang penting. Banyak tugasan yang perlu diselesaikan, bukan menunggu penganjur kursus yang asyik lambat menguruskan segalanya.

Bayangkan, senaman pagi pada jam 7, sebelum sarapan, bertukar menjadi jam 8.00 selepas sarapan. Tidak dibuat orang membuat senaman SEJURUS selepas sarapan pagi. Saya faham isu yang dikongsi olehnya.

Pihak penganjur masih tidak ada di dalam dewan kuliah, padahal rakan saya sudah terpacak di sana, tepat pada masa mengikut jadual yang diberikan. Akhirnya dia mengambil masa itu membuat kerja sendiri sambil menunggu kehadiran peserta lain dan penceramah. Nasib baik seminar itu gratis, jadi tidak ada terma 'membazir wang', cuma 'membazir masa'.

Apapun, saya harap yang terbaik buat dirinya, semoga dia masih dapat mempelajari pelbagai ilmu baru dalam seminar itu. Itu adalah tujuan utama dia menghadiri seminar itu, bagi mendapatkan ilmu baru.

Secara amnya, isu menepati masa memang isu yang tiada noktahnya. Ramai yang tidak menyedari isu masa ini boleh membantu kita DAN ia juga boleh menjatuhkan kita. Dalam kes rakan saya tadi, isu masa sudah menghancurkan reputasi pihak penganjur. Ini adalah perkara yang perlu dipandang serius. Mungkin selepas ini, rakan saya berfikir seribu kali untuk menyertai sebarang program yang diuruskan penganjur itu, walaupun ia gratis.

Pasti semua tahu kata hikmah ini 'Masa itu Emas'. Masa itu memang berharga. Bagi pengurus yang berjaya, mereka menyedari hakikat ini dan pasti masa akan diuruskan sebaiknya. Ini ada beberapa tip yang dapat diberikan perhatian:

1. Katakan TIDAK kepada perkara yang tidak perlu
Kadang-kadang kita mahu melakukan segalanya. Mahu pergi ke sana, pergi ke sini, mahu berjumpa dengan si A, si B, mahu pergi membeli belah di pasaraya A dan pasaraya B, mahu berjalan-jalan cari makan, mahu menghadiri pelbagai kursus, dan senarai ini berterusan.
Katakan TIDAK kepada perkara yang tidak perlu. Tidak perlu pergi membeli-belah di pelbagai lokasi, apabila semua barangan boleh dibeli di satu tempat sahaja. Rancang perjumpaan dengan rakan dan kenalan, supaya ia dapat dilakukan dalam masa sehari. Bukan dua, tiga hari. Dua, tida hari lebihan itu dapat digunakan untuk perkara lain.

2. Buat senarai PRIORITI
Pasti ada banyak perkara yang perlu dilakukan dalam sehari, seminggu, dan sebulan. Wujudkan senarai PRIORITI, perkara yang perlu di lakukan, atau kursus yang mahu dihadiri. Tetapkan tempoh masa bagi menyelesaikan tugasan itu. Sememangnya latihan itu penting, bagi memastikan kita dapat membiasakan diri. Insyallah. Pasti boleh!

3. Rancang MASA kamu
Pasti selalu dengar terma ini 'Janji Malaysia, pukul 8 sebenarnya 8.30. Biasalah.' Ini adalah keadaan yang biasa berlaku. Kebanyakannya pasti memberikan masa kecederaan selama 30 minit. Alangkah bagusnya kalau datang lebih awal 30 minit, daripada lewat 30 minit. Apabila berurusan dengan orang luar, ini adalah BIG NO-NO kerana kebanyakan negara lain amat mementingkan ketepatan masa.

Sepanjang percutian saya ke Hong Kong dan China bulan lepas, ini adalah perkara yang jelas dilakukan oleh pemandu bas kami. Jam digital ada di hadapan setiap bas, jelas menunjukkan masa. Apabila mengikut jadual, bas bergerak pukul 8 pagi, pemandu itu pasti menunggu jam itu bertukar menjadi jam 8. Walaupun bas sudah penuh, dan jam menunjukkan jam 7.50 pagi, dia tetap menunggu tepat jam 8 dan baru bergerak.

4. Simpan REKOD bagi pelbagai urusan
Ada yang menggunakan buku organiser sebagai penyimpan rekod segala urusan yang perlu dilakukan pada bulan itu dan seterusnya pada tahun itu. Bagi saya pula, buku organiser berat mahu dipikul ke sana dan ke mari, jadi saya simpan nota dalam HP saya. Di rumah pula, ada papan putih yang diisikan dengan semua urusan yang perlu dilakukan pada bulan itu. Ringkas tetapi memudahkan perancangan masa.

5. Apabila ada KONFLIK MASA, bagaimana?
Apabila ada konflik masa, seperti ada dua urusan yang perlu diuruskan pada waktu yang sama, atau ada dua kursus yang mahu dihadiri pada waktu yang sama, kita perlu buat analisis. Apa kelebihan dan kekurangan kedua-dua pilihan itu. Senaraikan sebanyak yang mungkin. Apabila senarai itu siap, kita dapat melihat keadaan lebih jelas dan dapat membantu kita membuat pilihan yang terbaik pada ketika itu.

6. Kita tidak SEMPURNA.
Kita adalah mahkluk ALLAH yang tidak sempurna, jadi tidak perlu terlalu teliti, mengambil terlalu banyak masa, semata-mata mahukan hasil kerja sempurna. Walaupun kita sudah memberikan yang terbaik, pasti masih ada yang tidak 'elok' di mata orang lain. Kita tidak dapat menggembirakan semua orang. Apa yang penting adalah, kita berikan yang terbaik dalam setiap tugasan yang dilakukan, memastikan kita menepati masa yang diberikan dan berdoa untuk yang terbaik. Insyallah.

-------

Sunday, June 6, 2010

Tip Freelancer: Duit Duit Duit




Bagi seorang freelancer, dia perlu aktif mencari kerja, sama ada projek penterjemahan, editing, penulisan, fotografi, desain grafik dan sebagainya.

Ada dua jenis pendapatan yang diterima oleh freelancer. Keduanya perlu dititikberatkan oleh si freelancer.


1. Pendapatan jangka pendek
  • Biasanya tugasan yang diterima adalah ringkas, pendek dan urgent.
  • Pendapatan yang diterima selepas tugasan diselesaikan. Ada klien yang menetapkan tempoh pembayaran sehingga 3 bulan. Pastikan kamu tegas dalam proses pembayaran. Perjanjian sebelum tugasan dimulakan juga perlu diutamakan.

  • Pendapatan yang diterima dapat menampung keperluan harian, mingguan, bulanan.
  • Tiada hasil fizikal yang dapat diperakui sebagai hasil kerja, hanya nilai dalam bank akaun yang sentiasa berubah-ubah. Walaupun ada hasil fizikal, tidak ada nama yang sertakan sebagai bukti.
  • Bagi penterjemah, editor dan penulis, pendapatan jangka pendek adalah tugasan dokumen komersial seperti iklan, brosur, risalah, laman web, sijil, dan sebagainya. Kebiasannya semua tugasan itu tidak menggunakan nama kita sebagai penterjemahnya. Bayarannya berbeza mengikut kadar komersial yang ditetapkan. Pastikan kamu pandai bernegosiasi dengan klien.


2. Pendapatan jangka panjang
  • Biasanya tugasan yang diterima adalah panjang berjela-jela dan tidak begitu urgent
  • Pendapatan yang diterima adalah berdasarkan jumlah jualan buku terjemahan dan copyright yang dimiliki. Kebiasannya bayaran dibuat secara tahunan. Pastikan kamu memahami perjanjian dengan penerbit mengenai perincian pembayaran ini.
  • Pendapatan yang diterima dapat menampung keperluan yang lebih besar. Ada rakan penulis dan penterjemah yang membeli aset rumah, kenderaan dan ada yang membawa keluarga melancong ke luar negara, dengan menggunakan pendapatan royalti daripada penjualan bukunya.
  • Nilai dalam akaun bank berubah-ubah pada masa tertentu sahaja dan ada hasil fizikal sebagai bukti, seperti buku terjemahan dan buku karya asal yang diterbitkan.
  • Bagi penterjemah, editor dan penulis, pendapatan jangka panjang adalah jualan buku terjemahan, dan karya asal yang sering diulang cetak tahun demi tahun. Pastikan juga usaha menulis dan menterjemah karya diteruskan. Wujudkan rangkaian karya kreatif yang pelbagai, bagi memastikan pendapatan jangka panjang yang berterusan. Karya juga perlu evergreen dan sesuai dengan pengedaran zaman.

Sunday, May 23, 2010

Tip Freelancer: Cabaran menjadi freelancer (2)



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ini adalah bahagian dua bagi cabaran yang dihadapi oleh freelancer.
Semoga ia dapat membantu mencerahkan apa-apa yang kelabu. :D

Dalam entri kali ini, saya berkongsi 3 lagi cabaran menjadi freelancer dan cadangan mengatasinya.

4. Tiada simpanan hari tua KWSP.
KWSP dipotong daripada gaji bulanan. Apabila bekerja sendiri, tiada kwsp. Jadi perlu disiplinkan diri menyimpan kadar yang ditetapkan daripada pendapatan kerja freelance itu. Perlu dilakukan setiap bulan. Kadar mungkin dapat diubah mengikut keperluan. Kini terdapat pelbagai pilihan simpanan hari tua, seperti simpanan tetap, amanah saham, pelaburan kewangan yang sesuai, tabung haji, dan ada juga skim insurans yang menawarkan skim simpanan hari tua apabila insurans matang.

5. Kerja tidak diberi, perlu dicari.
Apabile bekerja sendiri, kita perlu mencari projek2 penterjemahan. Sentiasa aktif mencari klien baru, sambil menjaga semua klien yang sedia ada. Ada penterjemah ada rangkaian yang kukuh seperti klien berprofil besar yang sering memberikan projek, dan menjamin pendapatan setiap bulan. Bagi memastikan ada fulus masuk setiap bulan, mesti aktif mencari kerja sepanjang masa.

6. Mencari kerja sambilan sebagai sandaran.
Ini adalah sebagai pendapatan sandaran dan juga bagi memastikan tahap intelektual dan sosial kekal aktif. Kalau lama sangat duduk di rumah sahaja pun, seperti terasing dari dunia luar, juga tidak berapa elok. Carilah kerja sambilan yang sesuai.

Thursday, May 20, 2010

Tip Freelancer: Cabaran menjadi freelancer (1)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semoga semua urusan seharian berjalan dengan lancar.

Kali ini, saya berkongsi 3 cabaran menjadi freelancer dan cadangan mengatasinya.

1. Ramai menyangka kita lepak, membuta sahaja dalam bilik.
Pada mulanya, ini adalah respons yang diterima oleh kebanyakan manusia di luar sana. Kita yang bekerja menghadap komputer sepanjang hari di dalam bilik kerja / bilik tidur, dan tidak kisahlah di mana lokasinya, sering dicap sebagai melepak dan membuta sahaja di dalam bilik. Kadang-kadang memang pedas di dengar, tetapi terpaksa ditelan sahaja. Tekadkan usaha, tunjukkan hasilnya!

2. Waktu kerja yang tidak menentu.
Kadang-kadang job yang datang terlalu urgent sehinga terpaksa mengorbankan masa tidur, bersama keluarga dan bersosial. Pastikan semua tugasan disiapkan lebih awal daripada tarikh akhirnya. Jadual perlu disusun dengan baik. Perlu disiplin yang tinggi dan pengurusan masa yang rapi. Dan beri ruang bagi menerima kerja urgent, jika mahu.

3. Tiada kelebihan rawatan perubatan dan kad perubatan atau medical card seperti kerja sepenuh masa.
Kebanyakan kerja full time memberi kemudahan perubatan kepada semua ahli keluarga. Apabila meninggalkan kerja full time itu, kemudahan ini pasti kembali mengikutinya. Sebagai freelancer, wujud keperluan menyediakan insuran termasuk kemudahan kad perubatan kepada setiap ahli keluarga dan memastikan bayaran bulanan dilunaskan tepat pada masanya. Jika semua ahli keluarga sudah ada insurans peribadi termasuk kad perubatan, ini berita baik!

(Dalam entri seterusnya, saya akan berkongsi 3 lagi cabaran menjadi freelancer and cadangan mengatasinya.) :D

Tuesday, May 18, 2010

Tip Freelancer: Kenapa mahu menjadi freelancer?


Assalamualaikum dan salam sejahtera, 
Semoga semua berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu. Mudahan segala urusan berjalan dengan lancar.

Baru-baru ini saya mendapat banyak emel daripada teman dan kenalan bertanyakan pendapat dan nasihat mengenai kerjaya penterjemah, penulis, editor freelance sepenuh masa.

Sebenarnya saya sedikit terkejut menerima semua emel itu kerana saya merasakan masih banyak yang perlu dipelajari dalam dunia editing, penterjemahan dan penulisan ini. Namun begitu, saya akan berkongsi apa yang saya tahu melalui pengalaman sendiri, dan juga individu lain.

Saya kongsi dahulu kelebihan bekerja freelance:

1. Kebebasan waktu bekerja.
Apabila mahu terjun ke dunia freelance dan bekerja sendiri, perkara yang sering dicari adalah kebebasan waktu bekerja. Sudah nama pun bekerja sendiri, jadi jadual kerja perlu disusun sendiri.

2. Masa berkualiti dengan keluarga.
Apabila bekerja daripada rumah, pasti ahli keluarga selalu dapat bersama-sama meluangkan masa. Cabarannya adalah memastikan masa bersama keluarga tidak selalu menjadi distraction kepada kita

3. Tidak perlu meredah kesesakan lalu lintas pada setiap pagi dan petang.
Ini kegemaran saya! Saya tidak suka memaksa diri memandu meredah jalan yang sesak melampau pada setiap pagi dan petang.

4. Tidak perlu selalu berdebat dengan pihak pengurusan.
Dapat travel ke sana ke mari, sesuka hati. Asalkan tempat yang pergi itu ada internet, kerja masih dapat dilakukan.

Apakah sebab kamu mahu menjadi freelancer?

[Dalam entri seterusnya, saya akan berkongsi mengenai kekurangan menjadi freelancer and cadangan mengatasinya. Nantikan! :D ]