Sunday, June 11, 2017

Buku Raya Untuk Semua

Hari ini sudah 17 Ramadan. Cepat betul masa berlalu! Pasti ramai yang sudah mula mengira bajet yang mahu dijadikan duit raya. Sejak karya pertama saya diterbitkan pada tahun 2010, bajet duit raya sudah menjadi bajet buku raya!

“Wahh! Bestnya Tim. Tapi perlu bajet besar kalau nak sediakan buku raya untuk semua anak buah. Ramai sangat. Kopak!”

Senyum sahaja sekiranya mendengar cakap-cakap begini.

Mahu tahu cara sediakan buku raya tanpa menyebabkan poket kita kopak?

Bahkan, apabila kena caranya, kita boleh sediakan buku raya untuk semua sanak saudara kita!

Sebelum itu, kenapa kita pilih untuk memberikan hadiah buku raya?

-------------------------------------
SENANG NAMPAK BUKU 
------------------------------------

Apabila kita berikan duit raya, kita tidak tahu ke mana perginya duit raya itu. Adakah ia digunakan untuk tujuan yang baik? Walaupun kita sering disarankan untuk bersangka baik, sebagai manusia biasa, kadang-kadang terfikir juga, “budak-budak ni guna duit beli jajan atau mercun kah? Bazirr, bazir.”

Perlu tambah sedikit ayat itu, “…seperti yang kita buat dulu?”  Hahaha.

Hadiah buku berbentuk fizikal. Jadi kita akan terus nampak buku itu dibaca oleh penerimanya. Sedap mata melihat anak buah duduk ramai-ramai sambil membaca buku dan bukannya menyerbu penjual jajan yang sekali-sekala melintas di hadapan rumah.

-----------------------------------
SEMAI TABIAT MEMBACA
-----------------------------------

Apabila buku dijadikan hadiah hari raya, secara tidak langsung, kita membantu menyemai tabiat membaca dalam kalangan anak-anak muda. Bahkan, si cilik yang comel juga akan sibuk mahu menerima buku raya apabila dilihat abang dan kakak mendapat hadiah buku. Pada masa yang sama, para penerima dapat menpertingkatkan penguasaan bahasa mereka dengan membaca karya yang baik.

-----------------------------------
SAHAM BERTERUSAN
-----------------------------------

Pilihlah buku yang sesuai untuk dijadikan hadiah buku raya. Pilih buku bermesej positif dan mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan. Secara tidak langsung, ini adalah saham kita. Selagi buku itu dibaca oleh seseorang dan semua ilmu dalam buku itu dipraktikkan, Insya-Allah ia adalah saham pahala yang berterusan untuk kita.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
**Berbalik kepada kisah pemberian buku raya.

Pada tahun pertama, semua buku raya khas untuk saudara mara cilik sahaja. Mereka yang masih bersekolah. Sekolah rendah dan menengah. Jadi bahan yang menjadi pilihan sebagai buku raya adalah komik dan novel berunsurkan pendidikan.

Pada ketika itu, komen yang biasa diterima, “Buku ini dijualkah?”

Tetiba dapat label penjual buku pula.

“Eh tidak! Ini semua hadiah. Hadiah buku raya.”

Paling seronok melihat wajah ceria si cilik apabila menerima buku itu.

Dalam hiruk pikuk kesibukan hari raya dan kemeriahan anak-anak menerima buku raya, tiba-tiba terdengar suara, “Hadiah buku untuk pakcik, makcik, takda kah?”

Ah sudah! Mana ada. Makcik, pakcik nak buku raya jugakah?

“Maaf makcik, pakcik. Ini semua buku kanak-kanak sahaja.”

Sejak hari itu, berazam mahu sediakan hadiah buku raya untuk saudara mara tanpa mengira usia. Kini, sudah tahun ke-7 saya menyediakan hadiah buku raya. Pada setiap tahun juga, bilangan kotak berisi buku raya semakin bertambah.

Bagaimanakah caranya?

-----------------------
RANCANG AWAL
------------------------
Setiap tahun, kita sudah tahu tarikh Hari Raya Aidilfitri. Jadi kita ada kira-kira 11 bulan untuk menyediakan hadiah buku raya.

11 bulan? Wow! Lamanya masa untuk menyediakan buku raya!

Ya, persediaan perlu dilakukan awal. Sama seperti kita merancang percutian, perlu buat perancangan awal. Elakkan tindakan saat akhir, bulan depan raya, bulan ini baru nak rancang pembelian buku raya. Bukan tidak boleh. Boleh. Tapi itulah jadi kopak terus!

-----------------------
BELI SIKIT-SIKIT
-----------------------
Sediakan sedikit bajet untuk pembelian buku untuk setiap bulan sepanjang 11 bulan itu. Sekiranya ada bajet lebih pada bulan tertentu, boleh sahaja beli lebih banyak buku.

Saya pernah ada buku yang disimpan lebih setahun, hanya untuk tujuan pemberian hadiah buku raya pada tahun seterusnya. Siap dibawa ke tahun berikutnya kerana ada lebihan. Buku tidak akan basi. Simpan dengan elok, pasti tahan lama.

Beli buku sedikit-sedikit mengikut bajet kita. Dalam tempoh 11 bulan itu, buku yang dibeli akan membukit! Percayalah.

------------------------------
BAJET HAMPIR SAMA   
-------------------------------
Berapa bajet yang biasa disediakan untuk duit raya? Paling sedikit RM 1 dan paling tinggi RM 10 setiap seorang. Mungkin ada antara kalian yang menyediakan bajet lebih banyak daripada itu, khusus untuk anak-anak buah kesayangan. Sekarang, kita tukar nilai duit raya menjadi buku raya. Bahkan, pemberian buku raya lebih menyeronokkan dan tersemat di minda penerima kerana berbeza dan istimewa.

Persoalannya, bolehkah kita beli buku yang hebat dengan harga RM1-RM 10?
Boleh sangat.

------------------------------
BANYAK PESTA BUKU
-------------------------------

Sepanjang tahun, pelbagai pesta buku dianjurkan khusus buat para pencinta buku. Lagi seronok, kita boleh dapat membeli buku pada harga yang lebih murah. Pada ketika inilah, kita boleh beli buku dengan kuantiti yang banyak, khusus untuk tujuan dijadikan hadiah buku raya. Saya pernah dapat membeli buku kanak-kanak dengan harga RM1 sahaja setiap satu! Sekiranya kita sediakan bajet RM 50, sudah dapat 50 buah buku! Banyakkan?

Dalam tempoh 11 bulan itu, pasti ada banyak pesta buku. Pergi dan mula membeli hadiah buku raya dengan harga lebih murah.

------------------------
BUKU LELONG   
------------------------

Pada setiap tahun, penerbit buku terutama syarikat penerbit besar akan mengadakan jualan lelong buku bagi menghabiskan saki baki stok buku terbitan lama dalam stor mereka. Ini peluang keemasan kita! Ada buku-buku yang dilelong begitu murah sehingga RM 1 sebuah.

Ya! Saya pun pernah memborong berkotak-kotak buku novel yang berharga RM1 setiap satu. Semuanya untuk dijadikan hadiah. Sekiranya ada bajet RM 100, sudah dapat 100 novel! Bayangkan 100 saudara mara kita dengan wajah super ceria apabila menerima hadiah buku raya itu. PRICELESS!
Cuma satu sahajalah. Pesta buku lelong ini tidak akan dilakukan dalam bulan Ramadan, iaitu masa kita sibuk menyediakan duit raya. Jadi memang tidak akan dapatlah harga RM1 setiap satu. Biasanya pesta buku lelong ini dilakukan 1-3 kali dalam setahun. Kita perlu sentiasa berusaha untuk mendapatkan maklumat mengenainya. Antaranya, ikuti dan like FB syarikat penerbit besar di Malaysia.

----------------------------
BERKAWAN-KAWAN   
----------------------------

“Tapi Tim, saya nak beli buku terbitan baru untuk dijadikan hadiah. Terutama kepada pakcik, makcik kesayangan. Mana ada diskaun untuk buku baru.”

Haaaaa… Niat dah bagus tu. Namun, bajet tidak mengizinkan. Sekiranya harga buku baru RM 30 dan bilangan pakcik makcik kegemaran adalah 5 orang, jumlah kecederaan adalah RM150. Banyak tu! Kalau buku harga RM 5, sudah dapat 30 buah.

Kalau dapat diskaun pun, paling banyak 10-15% sahaja. Nasib baik, dapatlah 20%.
Jadi apakah yang boleh kita lakukan?

Berkawan-kawanlah dengan penulis syarikat penerbitan!
Eh? Kenapa?

Kebiasaannya, mereka mendapat diskaun yang lebih sedikit berbanding diskaun biasa yang ditawarkan kepada umum. Sekiranya diminta dengan baik, pasti mereka bersedia membantu membelikan buku yang dikehendaki menggunakan diskaun penulis.

Khas untuk hadiah hari raya sahaja ya. Sekiranya mahu dijual semula dengan harga penuh atau minta buku percuma daripada penulis, lupakan sahaja niat mahu berkawan okehh!


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Selepas ini, bukan sahaja kita dapat menyediakan hadiah buku raya, bahkan kita akan dapat menyediakan hadiah buku untuk pelbagai acara. Hadiah hari jadi, hadiah majlis akikah dan juga hadiah untuk semua tetamu di kenduri kahwin! Betul! Percayalah.

Setiap tahun, saudara mara akan tunggu kehadiran kita. Hanya untuk dapatkan hadiah buku raya! Woahhhh!

Antara buku yang menjadi hadiah buku raya tahun ini

Panjang pula tulisan kali ini. Sebenarnya banyak deadline kerja penterjemahan dan penulisan ni.
Lain pula yang ditulis. Haha!











--
Pantang Tengok Notis Jualan Buku Murah 

Fatimah Rodhiah Mohd Yusof @ Tim
12 Jun 2017 

No comments: