Sunday, January 31, 2010

Editing Minggu Ini



Minggu ini, tugasan mengedit terjemahan Buku Start Where You Are Karya Chris Gardner bersama Mim Eichler Rivas. Chris Gardner adalah penulis buku Pursuit of Happyness, yang difilemkan, lakonan Will Smith dan anaknya.

Apabila saya menerima teks terjemahannya pada minggu ini,(1 februari - 5 februari 2010), cabarannya adalah mengedit buku setebal hampir 350 muka surat ini dalam tempoh satu minggu. (Minda mula mengira bilangan muka surat yang dapat diedit dalam tempoh satu hari...)

Target penerbitan buku terjemahan ini adalah pada Mac 2010.

Selamat berjaya!

Projek Penterjemahan Terkini

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Semoga semua urusan dipermudahkan olehNYA.

Projek penterjemahan terkini adalah buku Lords of the Rim, oleh Sterling Seagrave.




Selepas membaca buku ini sepintas lalu, timbul pelbagai cabaran yang perlu dihadapi. Antaranya...

1-Cabaran memindahkan mesej yang mengandungi pelbagai informasi sejarah sejak dinasti pemerintahan cina berkurun lamanya.

2-Cabaran memindahkan budaya yang sesuai dengan kebudayaan Malaysia. (PTS adalah penerbit syariah compliance)

3-Cabaran memindahkan informasi berkenaan dunia ekonomi yang kadang-kadang mengelirukan saya.

4-Cabaran memindahkan informasi berunsurkan politik yang kemungkinan menyentuh isu sensitif.

Ternyata, ini adalah cabaran yang baru. Tumpuan sepenuhnya akan diberikan kepada tugasan ini, tambahan dengan rujukan yang perlu dilakukan.

Semoga urusan dipermudahkan olehNYA. Insyallah! :0)

Program Riuh PTS Pro di Karnival MPH




Semalam, bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam, Tim PTS Pro meluangkan masa bersama pengunjung Karnival MPH. Pelbagai aktiviti dilakukan dalam 2 jam itu (4-6petang) termasuk pertandingan teka berat buku, pertandingan mewarna, aktiviti suai dan padan, dan aktiviti berkeluarga. Nyata memang menyeronokkan!

Alhamdullillah, saya dapat meluangkan masa bersama Tim PTS Pro, dan penulis senior yang lain. Walaupun terasa sedikit penat, namun ia adalah kenangan yang pasti tidak dapat dilupakan. Si kecil Danial juga nampaknya seronok berada di sana. Dia begitu sibuk mewarna dan membelek pelbagai buku yang ada di Karnival MPH itu.

Ini adalah sebahagian gambar yang sempat diambil. :0)


Danial bersiap-sedia. Misi: Mewarna.


Danial mula mewarna.


Aktiviti suai dan padan


Mengira bilangan ikan.


Seronoknya membaca!


Barisan penulis dan bakal penulis. :0)


Tim PTS Pro yang Hebat!

6 Bulan Berlalu... Macam-macam yang berlaku

(Nukilan asal: Sabtu, 19 Disember 2009)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sudah 6 bulan berlalu dan pelbagai perkara yang berlaku. Namun itu bukan alasan untuk tidak menulis apa-apa. Hakikatnya, kebanyakan masa memang dihabiskan dengan menulis, tetapi bukan di blog ini. Saya sibuk menterjemah buku, mengedit buku dan menulis siri novel remaja yang pertama. Tambahan lagi, dengan pelbagai tugasan penterjemahan dokumen komersial dan tugasan mengajar di kolej swasta. Itu belum lagi termasuk masa berharga bersama keluarga, bersama Danial Jazmi, bersama ayahnya, auntie2nya, uncle2nya, dan atok2nya.

Wah, sungguh multitasking! :0) Segalanya mengenai kehidupan. Kadang-kadang, apabila tidak mempunyai sebarang tugasan, memang membosankan. Tetapi apabila mempunyai seribu satu macam perkara yang perlu dilakukan, terasa begitu sibuk pula.

Namun, sibuk itu bagus, memang bagus.
Sibuk bermakna, semua anggota badan kita bekerja, berfungsi dengan baik.
Sibuk bermakna, masa dipenuhi dengan pelbagai perkara yang berharga.
Sibuk bermakna, kita melangkah maju ke hadapan.
Sibuk bermakna, kita mempelajari pelbagai ilmu baru setiap hari.

Tanggal 20 Disember 2009, barulah ada sedikit masa terluang bagi mencatatkan sesuatu dalam blog ni. Walaupun, masih ada tugasan yang perlu disiapkan, tetapi rindu mahu menulis sesuatu di laman blog ini.

Mengimbas kembali, apa yang dilakukan sepanjang 6 bulan yang lepas, memang tidak dapat diingati secara terperinci. Secara amnya, antara perkara yang berlaku adalah:

1. Mengedit buku terjemahan - RAHSIA BISNES GOOGLE - PTS Profesional, Disember 2009
- Karya asal Bahasa Indonesia, diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.



2. Mengedit buku terjemahan - YOUTUBE - PTS Profesional, 2010
- Karya asal Bahasa Indonesia, diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.



3. Menterjemahkan buku motivasi - KUBIK LEADERSHIP - PTS Profesional, 2010
- Karya asal Bahasa Indonesia, diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.



4. Menulis novel remaja yang bertemakan sains dan teknologi. Buku ini bakal dijadikan siri, Insyallah. Novel TIM B.E.S.T. (Buat Eksperimen Sains dan Teknologi) berkisarkan mengenai sekumpulan remaja yang suka melakukan pelbagai eksperimen sains dan teknologi. Setiap daripada mereka mempunyai karakter dan aspirasi masing-masing.

5. Insyallah, memulakan projek terjemahan buku mind mapping pada minggu hadapan. Projek ini mencabar kerana ia perlu disiapkan sepantas mungkin. Buku ini berkembar, setebal 150 dan 190 mukasurat. Setiap satu perlu disiapkan dalam masa 2 - 3 minggu sahaja. Semoga segala urusan dipermudahkan olehNYA. Insyallah! :0)

Pasti boleh! Insyallah! :0)

Apakah Gaya Komunikasi Anda?

(Nukilan asal - Selasa 19 Januari 2010)

Assalamualaikum pembuka bicara,
Esok sudah 20 haribulan rupanya,
Topik menarik yang mahu dikongsi bersama,
Apakah gaya komunikasi anda semua?

Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia seperti tidak menumpukan perhatian?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia seperti tidak berminat?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia seperti mengelamun jauh?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia sering menyampuk percakapan anda?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, dan dia dapat mengikuti segala butiran yang anda kongsikan?

Pasti sebahagian atau mungkin juga semua situasi di atas, pernah berlaku kepada kita semua.

Saya baru sahaja selesai mengedit buku edisi bahasa melayu Law of Connection. Buku itu ditulis oleh Michael J. Losier, pengarang buku Law of Attraction.

Ternyata kandungan buku itu begitu menarik sekali. Pengarang berkongsi pelbagai kaedah mewujudkan perhubungan personal dan profesional yang ideal. Manusia ternyata mempunyai pelbagai ragam dan karenah. Rupa-rupanya, kita semua mempunyai gaya komunikasi yang berbeza. Inilah sebab utama kenapa berlaku salah faham dan miskomunikasi antara kita, sehinggakan menjejaskan dan memusnahkan perhubungan dengan individu / pihak itu.

Kenyataannya, kita sentiasa dikelilingi oleh pelbagai pihak yang mempunyai pelbagai gaya komunikasi. Mari kita renungkan dua situasi berikut:

Situasi A: Anda berkenalan dengan teman baru, dan secara serta merta anda berdua mampu berkomunikasi dengan lancar, seperti sudah berkawan lama. Anda begitu seronok berbual dengannya dan dia juga kelihatan seronok berbual dengan anda. Anda berdua rancak berborak sehingga tidak sedar masa berlalu dengan pantas.

Situasi B: Anda berkenalan dengan teman baru, namun dia seperti tidak berminat berbual-bual panjang dengan anda. Setiap persoalan yang diajukan, disambutnya sepatah demi sepatah. Setiap informasi menarik yang dikongsikan, nyata tidak mendapat respons yang memberangsangkan. Anda mula merasakan tidak seronok berbual dengannya.

Pasti kedua-dua situasi di atas pernah berlaku kepada anda. Saya sendiri pernah mengalami keadaan itu. Sebagai pensyarah, saya berhadapan dengan pelbagai ragam, karenah pelajar, pada setiap semester. Pasti gaya komunikasi mereka juga berbeza. Ada yang menyenangkan, dan ada juga yang menjengkelkan.

Selepas mengedit buku itu, saya dapat lebih memahami setiap gaya komunikasi yang ada. Selama ini, sepanjang saya menjadi jurulatih dan fasilitator pelbagai program belia, kami sudah didedahkan dengan jenis ragam manusia dan cara mereka belajar. Setiap individu mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza. Tiga jenis itu adalah pembelajaran visual, auditori dan kinestetik. Rupanya, hal itu berkaitan juga dengan gaya komunikasi mereka. Bezanya gaya komunikasi mempunyai 4 gaya, iaitu Visual, Auditori, Kinestetik, dan Digital.

Secara ringkasnya:
Visual = Penglihatan,
Auditori = Pendengaran,
Kinestetik = Pergerakan,
Digital = Pemikiran...

Adakah anda komunikator Gaya Visual, Auditori, Kinestetik atau Digital?
Bagaimana berkomunikasi dengan individu berbeza gayanya?
Bagaimana mengenal pasti gaya komunikasi individu itu?

Semuanya terjawab dalam buku Edisi Bahasa Melayu: Law of Connection. Mac 2010. Terbitan PTS Profesional

Penghijrahan



Sejak tahun 2008, saya mempunyai sebuah blog www.timtaram.blogspot.com
Semuanya disumbat di situ, kasi taram sahaja.

Namun, bermula daripada tahun ini, blog baru diwujudkan. Blog ini menggunakan nama saya sendiri. Sebilangan besar daripada kandungan blog lama akan dipindahkan ke sini secara berperingkat. Mulai esok, setiap ketukan huruf di komputer ini akan difokuskan kepada aspek menterjemah, mengedit, menulis novel, dan semuanya dikongsi di blog ini. Blog yang lama masih dikekalkan, bagi memberi peluang saya mentaram apa sahaja.

Permulaan Tahun 2010

2010 animated glitter graphic, picture, image for Myspace comments, Orkut, Friendster, Hi5.
2010
Animated Glitter Graphics Comments


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Esok, 1 Februari 2010. Sememangnya 2010 bermula dengan baik. Insyallah, tahun ini adalah titik mula perjalanan sebagai penulis sepenuh masa. Karya sulung, Novel yang bertemakan sains dan teknologi, adalah dalam proses editing, ilustrasi, dan reka letak.

Novel Tim B.E.S.T. mengisahkan sekumpulan remaja yang berlainan personaliti, namun mereka disatukan oleh minat mendalam dalam melakukan pelbagai eksperimen sains dan teknologi.

Semua eksperimen yang dilakukan oleh Tim B.E.S.T. (Buat Eksperimen Sains dan Teknologi)mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Novel Tim B.E.S.T. akan diterbitkan oleh PTS PROFESIONAL Sdn Bhd pada tahun ini. Perancangannya adalah pada bulan Mac 2010. Insyallah.
Nantikan kemunculannya... Tim BEST!