Thursday, February 18, 2010

Poskad Hari Jadi yang Baru Tiba

Pada setiap bulan Disember, bulan ulang tahun kelahiran, saya pasti menerima pelbagai poskad menarik dari seluruh dunia, dikirim oleh rakan sekumpulan peminat poskad.

Semalam, saya menerima satu lagi poskad hari jadi. Pengirim terpaksa mengirim pakej baru, kerana pakej pertama yang dikirim, hilang entah ke mana, tidak tiba di rumah saya.

Namun, penantian hampir 2 bulan itu, memang berbaloi. Seronok menerima poskad yang cantik!

Poskad 1: Ibu kota Idaho, Boise adalah bandar raya yang sentiasa berkembang. Terletak di pingiran padang pasir, bandar raya ini mewah dengan pelbagai pohon menghijau dan rimbunan bunga yang indah. Boise adalah umpama oasis yang menakjubkan.


Poskad 2: Matahari Terbenam di sebalik Puncak McGown di Gunung Sawtooth, Idaho


Poskad ini dimasukkan ke dalam kad hari jadi yang simple dan cukup menarik!

Wednesday, February 17, 2010

Papan Jadual Aktiviti Bulanan

Sejak hujung tahun lepas, saya mula menggunakan papan putih ini bagi mencatatkan aktiviti bulanan. Kini perancangan setiap bulan nampak lebih jelas, berbanding jika hanya tulis di atas kertas. Kertas pun entah hilang ke mana. Berikut adalah aktiviti yang berlangsung pada bulan Januari dan Februari.



Sabtu 16 Januari 2010 - Si Kecik Danial genap tiga tahun pada hari ini. Baru teringat, perlu ada post khas bagi majlis ini. :0)



Sabtu 23 Januari 2010 - Bengkel Secret Story yang pertama yang diadakan oleh Tim Secret Story. Ini adalah sesi perkongsian buku yang diberikan perencah tambahan menjadi lebih Santai dan Seronok. Pembongkar rahsia pertama adalah Cik Puan Azzah yang berkongsi buku karya sulungnya bertajuk Pilih Jangan Tak Pilih. Buku keduanya adalah Celoreng Biru, Kompilasi kisah menarik di Kem PLKN. Saya mengenali Cik Puan Azzah sejak kami bertemu di kursus latihan jurulatih PLKN, dalam 3, 4 tahun yang dulu.



Inilah para peserta sesi Secret Story Januari 2010.


Kawan baru dan lama,
Seronok bersama,
Santai bersahaja
Dapat Ilmu berharga.

Ahad, 24 Februari 2010 - Bengkel Penulisan PTS - Penulisan Bahasa Berpengaruh dan KJ Metod



Duduk di kerusi hadapan,
Lebih jelas pemandangan,
Ilmu diterima berkoyan-koyan,
Perlu dipraktikkan baru berkesan.



Berehat bergambar bersama teman,
Aktiviti sudah selesai dilakukan,
Senyuman manis tiada paksaan,
Ceria dan seronok, tiada tekanan.

Sabtu, 30 Januari 2010 - Di sebelah Pagi - Pertemuan bersama Editor PTS Pro bagi berkongsi perancangan perjalanan penerbitan 2010


Cik Puan Shiela dan Cik Puan Ann begitu bersemangat berkongsi.
Tuan A. Razak Adam dan Cik Puan Fatimah Rodhiah khusyuk mendengar.
Mata tidak berkelip-kelip! :0)


Sebelah Petang - Program Riuh-Riuh PTS Pro di Stadium Melawati Shah Alam, sempena Karnival MPH. Memang seronok! :0)




Barisan bakal penulis dan penulis PTS.

Ahad 7 Februari 2010 - Di sebelah petang - Jemputan daripada Sepupu ke Majlis Cuku Jambul anaknya yang ke4, Adam Harith. Lokasi, Ampangan, Seremban.



Di sebelah malam : Majlis makan malam tahunan Dasein Academy of Art. Tahun ini tahun ke3 saya mengajar subjek komunikasi massa di kolej ini. Lokasi makan malam: Bubba Gump Shrimp, The Curve, Damansara.



Terlupa mengambil gambar sebelum makan. Selepas makan, perut dah kenyang, baru teringat mahu mengambil gambar kenangan. Ini minuman fresh oren, free flow! (Bukan free sebenarnya, pihak kolej yang bayar..hehehe), udang bakar, tortilla chip, fillet ikan, dan ice cream bersama biskut cip coklat. Ada banyak makanan barat yang lain, tetapi semuanya pelik2 belaka... jadi tengok sahaja... Ahahahha...

Sabtu, 20 Februari 2010: Sebagai pencinta buku, saya akan menyertai aktiviti Baca@Lrt.


http://www.facebook.com/photo.php?pid=259975&id=1809950643#!/group.php?gid=211699456684&ref=ts


Ahad, 21 Februari 2010: Program Secret Story, Seronok & Santai. Lokasi: Dolomite Business Park, Gombak, Selangor


http://www.facebook.com/photo.php?pid=259975&id=1809950643#!/event.php?eid=298190991548&ref=ts

Jumaat - Ahad 26 - 28 Februari 2010: Bercuti bersama keluarga tersayang. Yahoo!!! :0)

Sunday, February 14, 2010

Secret Story 21 Februari 2010


Secret Story kembali lagi kali ini dengan pengkhususan kepada WANITA sahaja.

Pembongkar rahsia undangan SS, tuan Imran Yusof akan berkongsi rahsia berkenaan :

+ Perhatian terhadap pasangan
+ Hubungan dengan mertua dan ipar-duai
+ Pentingnya sikap bijaksana dalam pengurusan sumber (kewangan, tenaga/buah fikiran, masa).

+++++++++++++++++

Maklumat berkenaan program Secret Story bulan Februari 2010

Tajuk : Kenal Pasti Pasangan Ideal Anda

Pembongkar rahsia : Tuan Imran Yusof

Tarikh : 21 Februari 2010
Masa : 10 pagi - 11 pagi
Tempat : 31-4-2, Jalan 3/50,
Diamond Square Business Centre,
Off Jalan Gombak,
53300 KUALA LUMPUR.

+++++++++++++++++

Sebarang maklumat lanjut mengenai program, sila hubungi

Tim Secret Story
Waida, Mal
waidakmy@gmail.com
glorybecky@gmail.com
03-41425300

+++++++++++++++++

Sumber: http://www.facebook.com/?ref=home#!/event.php?eid=298190991548&ref=ts

**************************
Nyata, sesi secret story ini begitu menarik! Saya akan kongsikan maklumat yang menarik itu pada minggu hadapan :0)

Baca@LRT 20 Februari 2010




Insyallah, pada hari sabtu 20 Februari 2010, saya akan menyertai pergerakan ini, yang akan turut disertai oleh ramai pencinta buku daripada pelbagai pelusuk masyarakat.

Baca@LRT satu gerakan rakyat membaca di LRT. Menjadikan aktiviti membaca sesuatu yang 'cool'. Aktiviti pertama dalam sejarah Malaysia bermula pada 16 Januari.

Klik di link Facebook yang disertakan di bawah, jika mahu mendapatkan informasi lanjut program 20 Februari ini

http://www.facebook.com/?sk=messages&tid=1240204317836#!/group.php?gid=211699456684

Saturday, February 13, 2010

Poskad Dari Seluruh Dunia

Sejak zaman remaja, saya mempunyai pelbagai aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang. Antara aktiviti ini adalah mengumpul poskad dari seluruh dunia. Setiap poskad yang diterima sentiasa membuat diri ini cukup teruja. Sering terbayang berada di setiap lokasi yang tersergam indah.

Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti mengedit, menterjemah, dan menulis buku, saya tetap meneruskan aktiviti mengumpul poskad sehingga kini.

Hari ini, 13 Februari 2010, saya menerima tiga poskad daripada kenalan swapper, Alfred Day di Maine, Amerika Syarikat. Tema pertukaran poskad pada kali ini adalah City view.


Rumpford, Maine dan Mexico, Maine dipisahkan oleh sungai kecil yang mengalir ke Sungai Androscoggin yang lebih besar.


University of Maine Campus (Regional) terletak di Farmington, Maine.


Pandangan dari atas - Concord, New Hampshire

Friday, February 12, 2010

Blog adalah Duta Diri

Sifu PTS - Puan Ainon Mohd, sangat menggalakkan penulis PTS mempunyai blog peribadi dan mengemaskinikan blog itu paling kurang seminggu sekali.

Gunakan blog bagi tujuan positif sahaja seperti:

(a) Memperkenalkan latar belakang diri saudara sendiri.

(b) Memperkenalkan karya saudara sendiri. Tulis maklumat berkenaan (i) Nama penerbit, (ii) Tahun terbit, (iii) Jumlah halaman, (iv) Harga

(c) Tulis sinopsis setiap buku yang sudah saudara terbitkan. Sinopsis buku adalah amat berguna kepada pustakawan.

(d) Laporkan kursus dan bengkel yang saudara hadiri.

(e) Laporkan pertemuan saaudara dengan tokoh penulis lain.

(f) Laporkan buku yang saudara baru beli.

(g) Laporkan buku yang sedang saudara baca.

(h) Laporkan buku baru yang saudara sedang ditulis.

(i) Laporkan kegiatan persatuan yang saudara anggotai.

(j) Laporkan kedai buku yang baru saudara lawati dan apa buku baru yang terdapat di kedai itu.

(k) Laporkan aktiviti dan berita terbaru tentang rakan penulis lain.

(l) Laporkan ziarah ke pejabat penerbit saudara.

Blog adalah duta saudara.

Sumber : http://universitipts.com/index.php/site/2007/12/P30/

---
Begini memang banyak yang dapat dikongsi dalam blog ini. Mudahan diberikan semangat dan kesihatan yang sejahtera selalu, semoga segala urusan dipermudahkan olehNYA. Insyallah! Amin!

Monday, February 8, 2010

Tip Penterjemahan: Menterjemah Ucapan Rasmi



Semalam, saya mendapat tugasan menterjemah dua ucapan rasmi. Sedikit mencabar kerana perlu menitikberatkan aspek protokol. Namun, saya dapat menyiapkannya dalam satu hari, Alhamdullillah.

Isu status, nama, pangkat, kedudukan, darjat, adalah perkara yang dianggap sensitif di Malaysia.

Apabila menjadi MC atau juruacara bagi sebarang majlis, beri perhatian kepada perkara ini. Lebih-lebih lagi, apabila tetamu mempunyai pelbagai latar belakang, pangkat, darjat atau gelaran jawatan yang disandangnya.

Panggilan hormat ini perlu disebut dengan betul dalam majlis yang dianjurkan.

Antara panggilan hormat termasuk, Yang Amat Berhormat, Yang Amat Berbahagia, Yang Berhormat, Yang Berbahagia, Yang Amat Arif, Yang Arif, dan Yang Berusaha. Ini baru panggilan hormat, belum lagi darjat kebesaran seperti Datuk, Dato', Tan Sri, Tun dan sebagainya. Belum lagi termasuk panggilan hormat bagi golongan diraja di Malaysia.

Apabila melakukan terjemahan daripada bahasa melayu kepada bahasa inggeris, nama panggilan ini tidak perlu diterjemahkan. Ini adalah kerana panggilan hormat ini adalah budaya yang dipraktikkan di Malaysia. Jika mahu diterjemahkan pun, tidak ada frasa yang sesuai dalam bahasa Inggeris, kerana mereka tidak mempraktikkan kaedah ini. Jadi, apabila menterjemah teks ucapan, yang pasti mempunyai senarai tetamu penting yang panjang, usah pening kepala, kekalkan sahaja panggilan hormatnya dalam bahasa melayu.

Editing Minggu Ini




Minggu ini, saya dapat tugasan baru mengedit buku. Buku sebelum ini, terpaksa ditangguhkan proses editingnya, kerana penterjemahnya masih dalam proses menterjemah dan memurnikan hasil terjemahannya.

Buku Great Work, Great Career, Karya Stephen R. Covey dan Jennifer Colosimo ini adalah setebal 108 muka surat. Saya sudah menerima salinan karya asal dalam Bahasa Inggeris, melalui pos laju hari ini. (Sebenarnya, tidak laju pun, sepatutnya sudah diterima pada hari Jumaat, namun si penghantar surat tidak memberikan kepada saudara saya yang ada di rumah! Alasannya, saya tidak ada di rumah. Hanya diberikan surat peringatan mengambil di depoh pos laju, sebab tiada orang di rumah. Aduhai, ada dua orang di rumah pada ketika itu! Sempat lagi si penghantar surat memberikan surat peringatan dan mengingatkan saudara saya, supaya menyuruh saya mengambilnya pada hari isnin!!!! Sabar sahaja...)

Sekarang, saya menunggu teks terjemahan daripada editor, bagi memulakan proses editing.

Mudahan semua urusan dipermudahkan olehNYA, Insyallah! :0)

Majlis Cukur Jambul Adam Harith 7 Februari 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semalam, kami sekeluarga ke Ampangan, Seremban, menghadiri Majlis Cukur Jambul Adam Harith, anak ketiga sepupu saya yang ketiga, daripada keluarga belah abah.

Di majlis itu, Adam dikendong oleh ibunya, Iza Azreen (isteri sepupu saya) dan diarak sekeliling di dalam dan di luar rumah, dan latarnya adalah suara sekumpulan wanita membaca Barzanji atau Marhaban di ruang anjung rumah.

Bagi tetamu yang berhasrat mencukur jambul Adam, mereka diberi peluang berbuat demikian. Sesiapa yang tidak mahu memegang gunting yang tajam itu, mereka merestui bayi dengan mengusap jambul atau kepalanya.


Pandangan dari luar rumah


Sapu minyak...


Kasi gunting...


Danial sibuk makan, laparrr...