Tuesday, July 27, 2010

Tip Penulisan: Menghasilkan Ayat yang Indah

Tip Bahasa Sastera: Penggunaan Kata Gramatikal yang Betul Menghasilkan Ayat-Ayat yang Indah

Bahasa yang bermutu sastera adalah bahasa yang betul dari sudut tatabahasanya dan semantiknya.

Salah satu aspek tatabahasa adalah penggunaan perkataan gramatikal (grammatical words). Perkataan gramatikal menerangkan hubungan-hubungan logik antara bahagian-bahagian dalam ayat.

Salah satu ciri yang membezakan Bahasa Melayu Rendah (BMR) daripada Bahasa Melayu tinggi adalah jumlah perkataan gramatikal.

Penggunaan perkataan gramatikal yang betul menghasilkan ayat-ayat yang bukan hanya betul tetapi lebih sedap dibaca. Demikian pula sebaliknya, dengan menggunakan perkataan gramatikal yang salah, ayat menjadi salah dari sudut tatabahasanya, mahupun maknanya.

Dialog yang tidak menggunakan perkataan gramatikal yang betul dan lengkap menghasilkan dialog bahasa basahan.

Contoh:

"Dia pergi kedai dobi tadi, hendak hantar baju-baju kotor untuk dibasuh." (BMR)

"Dia pergi ke kedai tadi, hendak menghantar baju-bajunya yang kotor untuk dibasuh." (BMT)

"Agak-agak dia sesuai diambil calon suami?" (BMR)

"Agak-agaknya, dia sesuaikah diambil sebagai calon suami?"

"Mana tahu lima tahun menjadi Melayu Mesir sekarang balik Malaysia, susah bercakap Melayu Kelantan." (BMR)

"Manalah tahu, selepas lima tahun (kamu) menjadi Melayu Mesir, sekarang apabila balik ke Malaysia, (kamu) susah bercakap Melayu Kelantan." (BMT)

Ayat-ayat dialog yang ditulis menggunakan BMR menghasilkan novel-novel yang bermutu komoditi. Salah satu ciri novel komoditi adalah dialog yang ditulis dengan menggunakan gaya bahasa sehari-hari. Novel komoditi sukar bertahan lama dalam pasaran disebabkan ia mudah dapat disaingi oleh novel-novel yang ditulis dengan menggunakan gaya bahasa yang lebih tinggi, justeru terasa lebih indah apabila dibaca.

NOTA: Ayat-ayat dialog dalam surah Yusuf, dan dalam seluruh al-Quran, ditulis menggunakan gaya bahasa tinggi.

Oleh Puan Ainon Mohd

Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Sumber: http://universitipts.com/index.php/site/comments/ciri-ciri_bahasa_yang_indah_kata_sendi/

No comments: