Tuesday, June 22, 2010

Tip Freelancer: Masa - Kawan atau Musuh?


Masa adalah kawan kita atau musuh kita?

Apabila kita menganggapnya sebagai kawan, pasti kita akan menjaganya sebaik mungkin. Menatangnya dengan minyak yang penuh. Persahabatan yang baik dipelihara dan sentiasa di hati kita.

Apabila kita menganggapnya sebagai musuh, pasti kita tidak mengendahkannya. Buat apa kita sibuk menjaga musuh kita dengan baik? Pasti kita selalu mahu memusnahkannya. Dalam erti kata lain, masa tidak menjadi prioriti kita. Kita sering melanggar masa yang dijanjikan dan tidak rasa bersalah apabila berbuat demikian. Akibatnya, kamu sering lambat memenuhi jemputan, hadir ke majlis lambat, dan tidak menepati langsung jadual yang diberikan!

Kalau kamu menganggap masa itu kawan karib kamu, pasti selama ini kamu menjaga masa dan menguruskannya sebaik mungkin. Itu berita baik!

Tetapi kalau kamu menganggap masa sebagai musuh, kamu membencinya dan tidak mengendahkannya. Inilah kamu silap!

Pernahkah kamu mendengar kata hikmah ini?

"Keep your friends close, and your enemies closer"
-Sun Tzu-

Maknanya cukup jelas! Pasti kamu rapat dengan kawan kamu dan sering meluangkan masa bersamanya. Tetapi kamu perlu lebih rapat dengan musuh kamu bagi mengalahkannya!

Dalam hal ini, kamu perlu sentiasa mendahului musuh kamu. Kamu perlu sentiasa mahu mendahului masa. Apabila janji temu jam 9 pagi, 8.40 pagi kamu sudah terpacak di lokasi itu. Apabila program bermula jam 11 pagi, 10.40 pagi kamu sudah ada mendaftarkan kehadiran.

Adakah perkara ini mustahil? Tidak! Ini dapat dilakukan.

"If you put your mind into it, you can do almost anything!"

Secara peribadi, saya juga sentiasa berperang dengan masa. Setiap tugasan yang dilakukan ada tempoh masanya. Setiap majlis atau program yang mahu dihadiri ada jadual yang sudah ditetapkan. Ini adalah perjuangan yang selalu ditempuhi saban hari. Kadang-kadang masih tewas dalam perjuangan ini. Tetapi itu bukan penghalang bagi meneruskan perjalanan. Ia menjadi perangsang supaya menjadi individu yang lebih baik. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan bagi menghadapi segala cabaran ini.

Insyallah, apabila kita terus berjuang penuh iltizam dan ketekunan, pasti kita menjadi sebahagian daripada golongan yang berjaya. Amin!

No comments: