Wednesday, June 16, 2010

Tip Penterjemahan: Terjemahan Hadis: Kanak-Kanak pun Faham


Apabila Nabi Muhammad bercakap, apa yang beliau cakapkan itu dapat difahami oleh sesiapa sahaja yang mendengarnya, sehingga kanak-kanak pun faham. Begitu jelasnya ciri percakapan Nabi Muhammad.

Tetapi kata-kata Nabi Muhammad yang begitu mudah dan jelas dalam bahasa Arabnya, apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, orang yang pernah belajar agama di universiti Jordan pun belum tentu faham! Inilah yang pernah dialami oleh pasukan penterjemah buku "Riadhus Salihin" susunan Imam Nawawi. Penyemak projek itu adalah Prof. Madya Dr. Arief Salleh Rosman dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sesekali penterjemah PTS tidak faham teks terjemahan Melayu-Indonesia yang sudah terbit. Mereka pun bertanya kepada Dr. Arief apa makna terjemahan itu. Apabila beliau pun tidak faham teks Melayu-Indonesianya, beliau terpaksa membaca teks Arab hadith berkenaan dalam "Riadhus Salihin" edisi Arab, barulah beliau faham.

Ciri "boleh faham" ini adalah ciri penting yang dikekalkan dalam terjemahan hadith. Jangan sampai orang yang membaca terjemahan itu terpaksa bertanya kepada pakar-pakar agama, ataupun membuka kamus-kamus Arab.

Apabila makna ayat terjemahan kata-kata Nabi Muhammad itu tidak difahami, padahal dalam teks Arabnya ia sangat mudah dimengerti, maka dari sudut etika-ilmu, sebagai penterjemah kita sudah melakukan kesalahan, kerana kita memberi gambaran yang salah tentang kemahiran-berbahasa dan kemahiran-berkomunikasi Nabi Muhammad.

Beliau mempunyai profisiensi bahasa yang amat tinggi. Apabila beliau bercakap, orang kafir pun faham. Malah, musuhnya pun faham. Paderi Yahudi dan Kristian pun faham.

Justeru kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad perlu diterjemahkan dengan menggunakan bahasa yang orang kafir pun faham. Ini adalah sunnah bahasa dan sunah komunikasi Nabi Muhammad.

Tetapi, banyak teks terjemahan hadis dalam Bahasa Melayu, jangankan orang kafir, sesama ustaz pun tidak faham!

NOTA: Terjemahan Melayu-Indonesia buku "Riadhus Salihin" sudah diterbitkan sekurang-kurangnya dalam 6 edisi terjemahan, oleh pelbagai penerbit di Indonesia, dan diimport serta dijual di dalam kedai-kedai buku Malaysia.

Oleh:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Sumber: http://universitipts.com/index.php/site/comments/terjemahan_hadis_kanak-kanak_pun_faham/

No comments: