Tuesday, June 8, 2010

Tip Freelancer: Reputasi Menepati Masa


Semalam saya membaca kongsian daripada seorang rakan yang melepaskan geramnya, apabila seminar yang dihadirinya tidak berjalan mengikut jadual. Bagi individu yang sibuk sepertinya, masa adalah faktor yang penting. Banyak tugasan yang perlu diselesaikan, bukan menunggu penganjur kursus yang asyik lambat menguruskan segalanya.

Bayangkan, senaman pagi pada jam 7, sebelum sarapan, bertukar menjadi jam 8.00 selepas sarapan. Tidak dibuat orang membuat senaman SEJURUS selepas sarapan pagi. Saya faham isu yang dikongsi olehnya.

Pihak penganjur masih tidak ada di dalam dewan kuliah, padahal rakan saya sudah terpacak di sana, tepat pada masa mengikut jadual yang diberikan. Akhirnya dia mengambil masa itu membuat kerja sendiri sambil menunggu kehadiran peserta lain dan penceramah. Nasib baik seminar itu gratis, jadi tidak ada terma 'membazir wang', cuma 'membazir masa'.

Apapun, saya harap yang terbaik buat dirinya, semoga dia masih dapat mempelajari pelbagai ilmu baru dalam seminar itu. Itu adalah tujuan utama dia menghadiri seminar itu, bagi mendapatkan ilmu baru.

Secara amnya, isu menepati masa memang isu yang tiada noktahnya. Ramai yang tidak menyedari isu masa ini boleh membantu kita DAN ia juga boleh menjatuhkan kita. Dalam kes rakan saya tadi, isu masa sudah menghancurkan reputasi pihak penganjur. Ini adalah perkara yang perlu dipandang serius. Mungkin selepas ini, rakan saya berfikir seribu kali untuk menyertai sebarang program yang diuruskan penganjur itu, walaupun ia gratis.

Pasti semua tahu kata hikmah ini 'Masa itu Emas'. Masa itu memang berharga. Bagi pengurus yang berjaya, mereka menyedari hakikat ini dan pasti masa akan diuruskan sebaiknya. Ini ada beberapa tip yang dapat diberikan perhatian:

1. Katakan TIDAK kepada perkara yang tidak perlu
Kadang-kadang kita mahu melakukan segalanya. Mahu pergi ke sana, pergi ke sini, mahu berjumpa dengan si A, si B, mahu pergi membeli belah di pasaraya A dan pasaraya B, mahu berjalan-jalan cari makan, mahu menghadiri pelbagai kursus, dan senarai ini berterusan.
Katakan TIDAK kepada perkara yang tidak perlu. Tidak perlu pergi membeli-belah di pelbagai lokasi, apabila semua barangan boleh dibeli di satu tempat sahaja. Rancang perjumpaan dengan rakan dan kenalan, supaya ia dapat dilakukan dalam masa sehari. Bukan dua, tiga hari. Dua, tida hari lebihan itu dapat digunakan untuk perkara lain.

2. Buat senarai PRIORITI
Pasti ada banyak perkara yang perlu dilakukan dalam sehari, seminggu, dan sebulan. Wujudkan senarai PRIORITI, perkara yang perlu di lakukan, atau kursus yang mahu dihadiri. Tetapkan tempoh masa bagi menyelesaikan tugasan itu. Sememangnya latihan itu penting, bagi memastikan kita dapat membiasakan diri. Insyallah. Pasti boleh!

3. Rancang MASA kamu
Pasti selalu dengar terma ini 'Janji Malaysia, pukul 8 sebenarnya 8.30. Biasalah.' Ini adalah keadaan yang biasa berlaku. Kebanyakannya pasti memberikan masa kecederaan selama 30 minit. Alangkah bagusnya kalau datang lebih awal 30 minit, daripada lewat 30 minit. Apabila berurusan dengan orang luar, ini adalah BIG NO-NO kerana kebanyakan negara lain amat mementingkan ketepatan masa.

Sepanjang percutian saya ke Hong Kong dan China bulan lepas, ini adalah perkara yang jelas dilakukan oleh pemandu bas kami. Jam digital ada di hadapan setiap bas, jelas menunjukkan masa. Apabila mengikut jadual, bas bergerak pukul 8 pagi, pemandu itu pasti menunggu jam itu bertukar menjadi jam 8. Walaupun bas sudah penuh, dan jam menunjukkan jam 7.50 pagi, dia tetap menunggu tepat jam 8 dan baru bergerak.

4. Simpan REKOD bagi pelbagai urusan
Ada yang menggunakan buku organiser sebagai penyimpan rekod segala urusan yang perlu dilakukan pada bulan itu dan seterusnya pada tahun itu. Bagi saya pula, buku organiser berat mahu dipikul ke sana dan ke mari, jadi saya simpan nota dalam HP saya. Di rumah pula, ada papan putih yang diisikan dengan semua urusan yang perlu dilakukan pada bulan itu. Ringkas tetapi memudahkan perancangan masa.

5. Apabila ada KONFLIK MASA, bagaimana?
Apabila ada konflik masa, seperti ada dua urusan yang perlu diuruskan pada waktu yang sama, atau ada dua kursus yang mahu dihadiri pada waktu yang sama, kita perlu buat analisis. Apa kelebihan dan kekurangan kedua-dua pilihan itu. Senaraikan sebanyak yang mungkin. Apabila senarai itu siap, kita dapat melihat keadaan lebih jelas dan dapat membantu kita membuat pilihan yang terbaik pada ketika itu.

6. Kita tidak SEMPURNA.
Kita adalah mahkluk ALLAH yang tidak sempurna, jadi tidak perlu terlalu teliti, mengambil terlalu banyak masa, semata-mata mahukan hasil kerja sempurna. Walaupun kita sudah memberikan yang terbaik, pasti masih ada yang tidak 'elok' di mata orang lain. Kita tidak dapat menggembirakan semua orang. Apa yang penting adalah, kita berikan yang terbaik dalam setiap tugasan yang dilakukan, memastikan kita menepati masa yang diberikan dan berdoa untuk yang terbaik. Insyallah.

-------

No comments: