Tuesday, September 27, 2016

Selamat Hari Jadi Ke-3 Rayyan Sayang!





(Post asal disiarkan dalam FB pada 29hb Ogos 2016)

Hari ini, secara rasminya Muhammad Rayyan Ejaz berusia 3 tahun.
Dahulu, ayah dan umi ingatkan abang Danial tu sudah cukup aktif, cukup bijaksana. Nampaknya, kamu ini lagi super aktif, lagi bijaksana. Hiperaktif.
Sesungguhnya banyak perkara kami belajar daripada kamu berdua, terutamanya cara menguruskan dua budak super aktif, super bijaksana.
Sememangnya setiap detik bersama membuka mata dan minda kami untuk lebih berusaha membimbing kalian menjalani kehidupan mendatang dengan lebih baik.
----------
Antara perkara yang kami belajar daripada kamu, Rayyan si super aktif, super bijaksana:
1. Kami perlu bergerak lebih pantas daripada kamu. Terutama apabila pintu pagar terbuka. Berdesup kamu berlari keluar. Pelari pecut! Nasib baik ayah kamu tu mantan 'star player' yang selalu berdesup juga kejar bola keliling padang! Umi pandang sajalah.
2. Setiap ahli keluarga perlu jaga pemakanan. Tidak ada jajan, gula-gula, coklat di rumah.(Sekiranya ada, perlu disembunyikan) Keropok yang dibenarkan adalah keropok sayur dan keropok ikan. Sekali sekala ada keropok kacang dal dan kerepek lain yang tidak manis. Ada juga pelbagai jenis kekacang. Tidak ada air bergas, air kordial, atau sebarang air2 manisan sebegitu.
Benda2 manis ini membuatkan si cilik lebih aktif. Jadi ia perlu dikurangkan atau dibuang terus.
Pemberian susu kamu pun sudah dicatu selepas ditukar jenama susu kerana jenama sebelum ini dikatakan susu yang paling banyak kandungan gula. Susu juga diberikan pada waktu siang sahaja.
Benda manis yang ada di rumah adalah pelbagai jenis buah-buahan. Itupun buah-buahan pilihan sahaja, seperti pisang, mangga, dan tembikai susu. Semuanya kegemaran kamu dan abang Danial. Kadang-kadang ada buah-buahan tempatan lain, pemberian atok abah khusus buat kamu berdua.
Air masak ada berbotol2 di rumah, semuanya 'free flow', khas buat kamu.
3. Kami perlu pandai meneka setiap kehendak kamu. Bunyinya sama sahaja. "Aaaaaaaaaa! Aaaaaaaaaaa!" Ia mungkin bermaksud, air, susu, kerepek, nasi, buah, permainan.
Sekiranya jawapan yang diteka itu betul, nada bunyi kata-kata kamu akan berubah disulam dengan senyuman paling manis.
4. Kami perlu sentiasa bersedia dengan aksi super kamu. Perlu pandai menepis semua permainan yang terbang secara tiba-tiba. Perlu bersedia apabila kamu tiba-tiba sahaja melompat ke atas tatkala kami sedang berehat. Ayah perlu sentiasa berjaga-jaga apabila sedang baring, nanti ada lagi permainan yang berat gabak yang 'landing' atas muka! Umi perlu sentiasa mencari kamu apabila tiba-tiba suasana senyap sunyi kerana entah apa yang kamu sedang lakukan. Nanti ada lagi 2,3 botol minyak rambut yang ditabur menukar lantai menjadi ruangan luncur ais!
5. Kami perlu bangun awal dan berjaga sepanjang hari, hanya untuk menemani kamu. Hari kamu boleh bermula seawal jam 4 pagi, dan berterusan sehingga jam 8/9 malam. Kadang-kadang sahaja kamu tidur siang, sekiranya penat. Suasana jadi aman damai sebentar. Namun, kebiasaannya kamu tidak tidur siang kerana banyak benda yang perlu dilakukan. Memang banyak kerja! Satu taman perumahan boleh dengar suara Umi hampir setiap hari.
Bagusnya tidak tidur siang, waktu malam kamu akan automatik tidur sendiri selepas maghrib. Alhamdullillah. Umi pun sama, kerana seharian menemani kamu. zzzzzzz
-------
Sememangnya menguruskan kamu ini memang banyak menguji kesabaran. Ia menjadikan kami, umi dan ayah yang lebih baik. Kami sangat bersyukur dan gembira dengan kehadiran kamu dan Abang Danial yang sentiasa menceriakan hari.
Walaupun kadang-kadang kalian buat kami stres (umi lebih stres sebab 24 jam dengan kamu), kalian adalah anak-anak syurga yang sentiasa menyejukkan mata dan hati kami. Kurniaan Allah yang cukup berharga!
Doakan kamu berdua membesar menjadi anak-anak yang baik, mentaati perintah Allah dan Rasul, sentiasa mengembirakan hati umi dan ayah, pandai menjaga diri, bersikap positif dan berbuat baik kepada semua makhluk Allah di bumi ini. Insya-Allah. Amin!
Happy Birthday Rayyan sayang!






 :D :D :D

No comments: